Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Waris bantah pindah kubur beri laluan projek ECRL

Waris membantah pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang atas alasan ia tanah wakaf. 


PETALING JAYA: Waris membantah pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atas alasan ia tanah wakaf.

Mereka mahu keputusan sebulat suara diperoleh daripada semua waris dalam pertemuan khas di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Ahad ini.

Waris, Aminnullah Kamarudin, 39, membantah pemindahan kubur arwah ibunya kerana kawasan itu tanah wakaf dan mahu pihak berkaitan mengambil kira sensitiviti isu itu dengan menggunakan kaedah lain tanpa menyentuh pusara yang kebanyakannya baru berusia dua tahun.

“Saya bukan memikirkan soal pampasan, namun tanah wakaf bagi kubur tidak sepatutnya dijadikan laluan ECRL.

“Justeru, saya kekal membantah kerja penggalian dan pemindahan itu, selain mahu jalan penyelesaian tuntas diputuskan pihak bertanggungjawab,” katanya menurut Harian Metro.

Seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 48, kecewa pemakluman pemindahan itu tidak dibuat lebih awal dan mendakwa sudah mendapatkan 26 waris yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan pemindahan kubur itu.

“Kami hanya dimaklumkan hujung April lalu, sedangkan ia membabitkan projek pembinaan berskala besar. Saya mahu sesi pertemuan hujung minggu ini disertai 90 waris dan mereka wajib dikumpulkan bagi memperoleh keputusan sebulat suara.”

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan penangguhan seminggu lagi untuk kerja memindahkan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Wakil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, pihaknya masih mengesan 20 waris untuk menyertai pertemuan pada hujung minggu ini.

“Kita akan memastikan segala kerja pemindahan kubur itu dilaksanakan mengikut syariat Islam dan prosedur betul.”

Terdahulu, lebih 200 waris dan penduduk setempat menyertai pertemuan selama sejam bersama wakil Jais berhubung isu itu.

Tinjauan akhbar itu mendapati kawasan kubur berkenaan ditutup zink biru dan dikawal puluhan anggota polis. Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong turut hadir.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Masih ada majikan culas laksana gaji minimum RM1,500, kata MTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sentiasa menggesa kerajaan lebih agresif dalam mengenal pasti majikan masih berdegil atau sering mencari jalan mengurangkan kos penggajian.


IPOH: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan lebih agresif menangani isu majikan culas menggajikan pekerja mengikut pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa dua tahun lalu.

Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata MTUC sentiasa menggesa kerajaan supaya lebih agresif dalam mengenal pasti majikan masih berdegil atau sering mencari jalan untuk mengurangkan kos penggajian.

“Seperti yang dinyatakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat tahun lepas, terdapat 10% lagi pekerja formal menerima gaji bawah kadar gaji minimum iaitu RM1,500 sebulan,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Makan Malam MTUC dan Sambutan Hari Pekerja 2024 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan.

Sebelum ini Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Bagaimanapun melalui peraturan sebelum ini, penguatkuasaan PGM bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja ditangguhkan dari 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Cuepacs harap laksana segera cadangan lain termasuk kenaikan pangkat, elaun




PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap selain kenaikan gaji lebih 13%, beberapa cadangan lain dikemukakan untuk ditambah baik dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan segera.

Presiden Adnan Mat berkata cadangan itu termasuk berkaitan kenaikan pangkat, pemberian elaun dan beberapa indikator lain yang termasuk dalam pakej SSPA dibangkitkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menghargai pengumuman dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13% bermula 1 Dis ini.

“Memang ada insentif lain Cuepacs perjuangkan dan kini ia dalam pertimbangan terakhir. Apa yang diumumkan oleh perdana menteri tadi adalah isu kritikal dan ia memberikan kelegaan kepada penjawat awam.

“Sebelum ini kami (penjawat awam) runsing mengenai gaji dan akan tertekan sekiranya tiada kenaikan dalam waktu terdekat. Perdana menteri sudah membuatkan pertimbangan sewajarnya mengenai kenaikan gaji penjawat awam dan dalam masa sama tidak melupakan sektor lain.

“Kita harap pengumuman perdana menteri hari ini tentu beri kelegaan kepada anggota perkhidmatan awam dan pihak di luar sana juga memahami sebenarnya kedudukan gaji kami yang sudah 12 tahun tidak ditingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sebelum ini, Cuepacs menggesa kerajaan merealisasikan empat cadangan penambahbaikan antaranya gaji minimum, gred, kenaikan gaji tahunan dan tempoh kenaikan pangkat mengambil masa terlalu panjang.

Sementara itu, Adnan juga berharap kerajaan dapat menaikkan bayaran pencen kepada pesara penjawat awam.

Katanya, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam perlu juga dilihat dalam bentuk kenaikan pencen anggota perkhidmatan awam dalam bentuk pelarasan dan sebagainya.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Lebih 1,000 pekerja berarak tuntut gaji minimum RM2,000

Pekerja berarak menuntut dinaikkan gaji minimum agar sejajar peningkatan kos sara hidup.


PETALING JAYA: Lebih 1,000 berarak ke Dataran Merdeka menuntut hak lebih baik, termasuk kenaikan gaji minimum, sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.

Disokong 60 pertubuhan termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), Muda, Bersih dan Empower, perarakan itu berlangsung selama 30 minit bermula dari Menara Maybank.

Mereka menuntut gaji setimpal, dengan penganjur berkata gaji minimum RM1,500 bawah Perintah Gaji Minimum 2022 masih rendah berbanding kos sara hidup.

Mereka juga ambil maklum bukan semua pekerja dibayar dengan jumlah itu.

“Rakyat B40 terutama pekerja, penjaja, pelajar, pekerja tidak formal, dan penganggur, cukup terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Rakyat pertengahan juga berdepan isu sama,” kata penganjur dalam kenyataan.

Tuntutan turut melibatkan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, pendapatan asas sejagat RM1,000 bagi pekerja tidak formal, jaminan kerja untuk semua dan hak pekerja migran.

Sebelum ini, Malaysiakini memetik Pengerusi PSM Michael Jeyakumar Devaraj, sebagai berkata gaji pekerja hanya meningkat 1.3 kali ganda walaupun keluaran dalam negara kasar bertambah 24 kali ganda sejak lima dekad lalu.

Katanya, kemakmuran negara hasil usaha semua, namun manfaat sangat rendah untuk pekerja.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Sesat kalau ikut cakap Ramasamy, kata Loke

Loke Siew Fook berkata P Ramasamy perlu ingat mengundi adalah hak warganegara.


HULU SELANGOR: Tindakan Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy yang meminta pengundi terutama masyarakat India tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bertujuan membalas dendam kepada DAP dan gabungan itu.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata tindakan politik tanpa hala tuju itu dipercayai dibuat selepas namanya digugurkan pada PRN Pulau Pinang, Ogos tahun lalu.

“Suruh pengundi tak undi calon kerajaan perpaduan (Pang Sock Tao), tetapi dia ada beri alternatif untuk undi siapa? Dia sendiri pun tak tahu dan tak ada alternatif. Dia kena ingat mengundi itu (adalah) hak warganegara dan kita yakin mereka (pengundi) bijak menilai.

“Dia bebas nak cakap apa, tapi kalau kita ikut cakap dia, kita pun akan jadi sesat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan aktiviti kempen bersama Pang yang dipertaruhkan mewakili kerajaan perpaduan bagi PRK Kuala Kubu Baharu, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, tindakan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kempen Pang sebaliknya bekas setiausaha akhbar kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan mendapat respons baik setiap kali turun berkempen bertemu penduduk.

“Parti dalam kerajaan perpaduan juga membantu dan memberikan sokongan penuh, malah kita juga akan mula melakukan ceramah mega perdana dengan menampilkan nama-nama besar pimpinan dalam parti kerajaan perpaduan bermula Jumaat ini,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Ramasamy yang juga bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang memulakan kempen meminta pengundi di Kuala Kubu Baharu menolak PH.

Dalam pada itu, Loke berkata PH hanya akan berkempen secara matang dengan mempromosikan calon berdasarkan fakta serta kemampuannya tanpa menjatuhkan maruah pencabar lain.

“Contohnya isu kelayakan akademik calon (Perikatan Nasional), bukan kita yang mulakan, warganet yang tanya menerusi media sosial dakwa kelayakan tidak sah, tetapi mereka cuba alih perhatian ramai dengan serang dan tanya kelulusan pendidikan calon kita pula dan kita jawab dengan fakta,” katanya.

Pada PRK itu, Pang ditentang tiga pencabar iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal 7 Mei.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Masyarakat India KKB dibelenggu kemiskian sekian lama - Santiago

Charles Santiago berkata pemimpin yang sentiasa menyerang antara satu sama lain tidak mempunyai kepentingan terbaik masyarakat.


PETALING JAYA: Serangan politik berterusan antara pemimpin menghalang pembangunan masyarakat India di Kuala Kubu Baharu, kata bekas Ahli Parlimen DAP.

Bercakap kepada FMT, Charles Santiago berkata masyarakat India di kawasan itu berdepan banyak isu belum diselesaikan sejak berdekad lalu seperti kemiskinan, kurang peluang pekerjaan dan perumahan.

Bekas Ahli Parlimen Klang tiga penggal itu berkata, pemimpin politik harus memberi tumpuan dalam menyelesaikan isu berkenaan daripada membuang masa bergaduh sesama sendiri menjelang PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei.

“Daripada menyerang antara satu sama lain, mereka sepatutnya memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat India di sana,” kata Santiago.

“Jangan silap – pemimpin yang hanya terjerit-jerit tidak mempunyai kepentingan terbaik masyarakat. Ia menunjukkan sokongan kepada kerajaan demi kepentingan peribadi dan jangka hayat politik.”

Semalam, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menyeru bekas Adun DAP P Ramasamy dan sekutunya “menghentikan telatah mereka yang memalukan” di Kuala Kubu Baharu.

Rayer juga menuduh pengerusi Urimai cuba memanipulasi pengundi Kuala Kubu Baharu.

Wakil rakyat DAP itu juga berkata, Ramasamy tidak akan mendesak pengundi memboikot calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu jika beliau masih timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan meletakkannya sebagai calon pada PRN Pulau Pinang tahun lalu.

Ramasamy sebelum ini berkata, Urimai memulakan kempen menggesa pengundi di Kuala Kubu Baharu khususnya kaum India supaya menolak PH pada PRK 11 Mei ini.

Beliau berkata, gesaan untuk mengetepikan PH adalah bagi memberi pengajaran kepada kerajaan persekutuan kerana tidak menunaikan janjinya.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil kemudian mencadangkan pengerusi Urimai itu menyertai Perikatan Nasional (PN), yang mana ia ditolak Ramasamy.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Sarawak ambil masa sebulan setengah teliti kenaikan gaji penjawat awam

Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri mampu menanggung kenaikan gaji yang akan diumumkan.


SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian menambah baik termasuk meningkatkan gaji penjawat awamnya, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata, kajian itu yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan setengah akan meneliti pelbagai faktor.

“(Usaha menambah baik) ini akan melibatkan implikasi kewangan (kepada Sarawak), tetapi saya lihat kita boleh menanggung kenaikan (gaji) yang akan kita umum dalam masa sebulan setengah lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Simunjan.

Beliau berkata demikian semasa mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% bermula Disember antara tertinggi dan terbaik.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji, dan elaun tetap penjawat awam ialah RM1,795 sebulan.

Perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

P Pinang teliti kenaikan gaji penjawat awam

Chow Kon Yeow berkata Jabatan Kewangan Negeri akan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan gaji penjawat awam di Pulau Pinang. (Gambar Facebook)


GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan membincangkan mengenai kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Jabatan Kewangan Negeri akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu khususnya mengenai penambahan perbelanjaan atau emolumen sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita perlu melihat keadaan kewangan setiap negeri. Memang kita perlu menyediakan bajet sekiranya dilaksanakan di peringkat negeri juga. Saya percaya akan menjadi cabaran kepada sesetengah negeri untuk menampung perbelanjaan tambahan ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% bermula Disember ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion

Anwar yang juga menteri kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga mencapai melebihi RM2,000 sebulan.

Sementara itu dalam perutusan sempena Hari Pekerja, Chow berkata kerajaan negeri akan menumpukan perhatian dalam usaha menjadikan Pulau Mutiara sebagai destinasi perdagangan antarabangsa terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor, bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Dengan rekod prestasi negeri yang lebih kukuh dari segi dasar dan fasiliti pelaburan, beliau yakin negeri berkenaan yang juga dikenali sebagai Lembah Silikon Timur akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan pelabur berkualiti serta bernilai tinggi.

“Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) bagi suku keempat 2023, Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran dua peratus dan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) sebanyak 73.3 peratus sekali gus membuktikan masyarakat negeri ini merupakan golongan yang rajin berusaha serta optimis menambah baik taraf kehidupan masing-masing,” katanya.

Tahun lepas, Pulau Pinang merekodkan aliran masuk pelaburan RM71.9 bilion, tertinggi di Malaysia, selain memudah cara pelaburan sebanyak RM13.67 bilion serta lebih 14,000 peluang pekerjaan menerusi kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA).



Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo