Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ridzuan teknokrat yang berkarisma untuk Bukit Katil





DI TENGAH-tengah persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, kemunculan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif sebagai calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN N.17 Bukit Katil menampilkan kisah menarik seorang profesional yang sanggup meninggalkan kerjaya tetap dalam perkhidmatan awam untuk memikul amanah politik.

Pada usia 42 tahun, beliau berdepan tugas mencabar untuk merampas kerusi tersebut daripada penyandang berpengalaman, Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka yang kini merupakan Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka.

Pertandingan empat penjuru ini turut melibatkan Dr Aliza Che Amran daripada BERSAMA, yang merupakan bekas pensyarah Universiti Teknologi Melaka (UTeM), dan Datuk Abu Bakar Sabudin, Ketua Umno Cawangan Taman Bukit Katil yang bertanding sebagai calon Bebas selepas hasratnya untuk dicalonkan atas tiket Barisan Nasional (BN) tidak kesampaian

Berdasarkan keputusan PRN Melaka 2021, kerjasama BN–PN secara matematik memberikan kelebihan kepada Ridzuan. Ketika itu, Adly mempertahankan Bukit Katil dengan 6,805 undi menewaskan calon BN yang memperoleh 5,748 undi dan PN sebanyak 3,715 undi. Jika kedua-dua undi BN dan PN digabungkan, jumlahnya mencecah 9,463 undi, iaitu 2,658 undi mengatasi Adly.

Bagaimanapun, perkiraan di atas kertas tidak semestinya diterjemahkan kepada keputusan sebenar kerana pemindahan undi (vote transferability) antara penyokong kedua-dua parti bukan sesuatu yang berlaku secara automatik. Cabaran ini semakin kompleks apabila mengambil kira perubahan komposisi pemilih Bukit Katil, yang kini berjumlah 35,359 orang, termasuk 17,547 pemilih berusia 18 hingga 40 tahun (49.63 peratus).

Kehadiran calon Bebas yang mempunyai hubungan dengan akar umbi Umno turut mewujudkan unsur persaingan tambahan, khususnya apabila Abu Bakar mengakui masih menjadi ahli Umno ketika mengambil keputusan bertanding. Keadaan tersebut menjadikan kesepakatan jentera, penerimaan calon dan keupayaan menjelaskan kerjasama PAS–BN kepada pengundi sebagai antara aspek penting sepanjang kempen.

Sejarah pilihan raya Malaysia pernah memperlihatkan cabaran sedemikian. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, Abdul Muttalib Salleh, calon Bebas yang pernah mewakili Umno, berjaya menewaskan Mohamed Ghazali Ahmad, calon PAS yang bertanding atas tiket BN di DUN Batu Burok, Terengganu, dengan majoriti hanya 145 undi. Kajian Ilyas Abdullah dan Nurul Saadatun Nadiah Mohd Ngah (2023) mengaitkan kekalahan tersebut dengan penentangan sebahagian penyokong terhadap pemilihan calon PAS mewakili BN.

Walaupun konteks politik dan kekuatan calon berbeza, peristiwa ini memberikan pengajaran bahawa kesepakatan pemimpin parti di peringkat atasan belum tentu dapat menjamin kesepakatan penyokong di akar umbi. Justeru, persaingan di Bukit Katil bukan sekadar ujian terhadap keupayaan peribadi Ridzuan menghadapi seorang penyandang berprofil tinggi, tetapi juga ujian terhadap keberkesanan kerjasama PAS–BN dalam menterjemahkan persefahaman politik kepada kesatuan jentera dan sokongan pengundi.

Faktor inilah yang menjadikan gerak kerja lapangan, hubungan peribadi dengan masyarakat dan penerimaan merentas parti begitu penting dalam kempen beliau.

Masa sama, pemilihan Ridzuan oleh PAS menarik perhatian kerana latar belakangnya menggabungkan kelayakan akademik, pengalaman teknikal, kepimpinan organisasi dan penglibatan masyarakat. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Putra Malaysia, beliau turut memiliki Diploma Eksekutif Penguatkuasaan Undang-Undang dan sedang melanjutkan pengajian sarjana berkaitan penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan siber.

Pengalaman hampir 20 tahun dalam perkhidmatan kesihatan awam, termasuk mengetuai bidang kesihatan persekitaran dan penguatkuasaan, memberikan beliau pengetahuan mengenai pentadbiran kerajaan. Rakan serta jentera PAS melihat keperluan mengetengahkan calon berlatar profesional atau teknokrat untuk Bukit Katil. Justeru, pencalonannya boleh dilihat sebagai pendekatan PAS menggabungkan pengalaman pentadbiran dengan kepimpinan akar umbi.

Menariknya, Ridzuan sendiri mengakui tidak pernah merancang menjadi calon. Dalam hantaran Facebook, beliau menyatakan bahawa sebelum ini dirinya hanya membantu calon lain. Pada hari pertama berkempen, beliau berseloroh mengenai gelaran YB sebagai “Yang Bersara”, sebelum menyatakan lebih menyukai maksud “Yang Berkhidmat”.

Dalam wawancara dengan Buletin Online, beliau menceritakan bagaimana pencalonannya mengejutkan ahli keluarganya. Ridzuan mendapatkan pandangan ibu, berbincang dengan isteri serta menunaikan solat istikharah. Beliau turut menyatakan mungkin menolak sekiranya panggilan itu datang daripada orang lain, bukannya daripada Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Lebih besar ialah keputusan meninggalkan kerjaya tetap selepas hampir dua dekad berkhidmat. Apabila ditanya sama ada beliau telah meletakkan jawatan, jawapannya ringkas, “Ya, saya resign.” Menurutnya, pengalaman dalam perkhidmatan awam mendedahkan keperluan rakyat yang tidak semuanya dapat diselesaikan melalui kedudukan pentadbiran. Beliau mahu terlibat dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah masyarakat secara lebih langsung.

Corak pemikiran keagamaannya turut jelas dalam tulisan peribadi. Ridzuan mengingatkan bahawa jangan terlalu mengejar kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab. Beliau berpandangan amanah kepimpinan bukan sekadar dinilai manusia, tetapi akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Dalam tulisan bertajuk Ujian Kita Tak Sama, ketika menziarahi pasangan yang sakit, beliau menekankan bahawa manusia mungkin tidak mampu menghilangkan semua penderitaan, tetapi masih mampu hadir, bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.

Nilai yang dinyatakan itu mempunyai kaitan dengan pengalaman kemasyarakatannya. Sejak menetap di Bukit Katil pada 2010, beliau berkhidmat sebagai imam dan pengerusi Surau Ukhwah Islamiah. Seorang penduduk, Hashim Abdullah, 70, mengenang usaha Ridzuan bersama penduduk mengumpulkan dana ketika surau menghadapi masalah kewangan pada 2011. Hashim turut menyifatkan beliau sebagai penyabar, mudah bergaul dan tidak panas baran.

Pujian terhadap keperibadiannya turut muncul di Facebook. Mashrul Zahrin Masbi menggambarkan Ridzuan sebagai individu yang mudah didekati, sopan santun dan berbudi bahasa. Shiekh Ibnu Faisol, yang pernah mengikuti usrah bersamanya, pula menyifatkan beliau sebagai seorang yang menjaga akhlak dan adab. Mohd Khairil menyatakan bahawa cerita diterimanya daripada bekas kakitangan bawahan Ridzuan semuanya positif.

Satu lagi dimensi menarik ialah hubungan Ridzuan dengan rakan politik serta lawannya. Di peringkat PAS dan Umno, terdapat bukti kerjasama jentera yang nyata. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hadir mengiringi beliau pada hari penamaan calon manakala Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengunjungi bilik gerakan beliau.

Ridzuan turut berkempen sepentas dengan Datuk Mohd Noor Helmy, calon BN Duyong, selain bertemu Datuk Ridhwan Ali, calon BN Ayer Molek, di bilik operasi BN Ayer Molek. Kerjasama ini diperluas melalui ziarah bersama jentera BN, termasuk di PDM Umno Taman Saujana 2, Bukit Pulau, Kampung Bukit Katil dan Bukit Katil Indah. Penerimaan di peringkat akar umbi turut tergambar melalui perkongsian Ridzuan mengenai seorang Ketua Wanita Umno di Kampungku Sayang yang meluahkan, “Sudah lama kami inginkan perpaduan, kan kita semua orang Melayu.”

Lebih menarik, ceramah kelompok PN turut menampilkan barisan pemimpin dan aktivis Umno, antaranya termasuklah Datuk Wira Haji Hasnoor Sidang Hussin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya (UDM Kampung Bukit Katil); Nur Nafishah Safian, Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya (UDM Kampung Bukit Katil); Tamby Suleiman Tamby Abu Bakar, AJK Umno Bahagian Hang Tuah Jaya (UDM Paya Ikan); Abu Hurairah Hashim, Ketua Penerangan Umno DUN Bukit Katil (UDM Bukit Pulau); Safirul Amar Haji Azmi, AJK Pemuda Umno Hang Tuah Jaya (UDM Bukit Beruang); dan Dato’ Hasnal Rezua Merican, Ketua Umno Bahagian Selayang (UDM Bukit Baru Dalam).

Lebih menarik, hubungan mesra itu tidak terbatas dalam kalangan sekutu politik. Ridzuan turut berkongsi pengalaman bergambar dan beramah mesra bersama Adly selaku calon PH serta Dr Aliza selaku calon BERSAMA ketika bertemu di Pasar Malam Bukit Baru selain menghadiri majlis tahlil bersama Adly di Surau Tabah, Bukit Baru. Episod ini memperlihatkan contoh persaingan pilihan raya yang tidak menghalang hubungan sosial dan saling menghormati antara calon berlainan parti.

Dari sudut corak kempen, Ridzuan banyak menonjolkan pendekatan peribadi melalui solat berjemaah, sarapan di warung, ziarah rumah ke rumah, kunjungan pasar serta ceramah kelompok. Semua ini diperluas melalui Facebook, video, siaran langsung dan podcast. Sebaliknya, Adly selaku Pengerusi PH Melaka agak terkekang kerana perlu mengimbangi usaha mempertahankan Bukit Katil dengan tugas mengetuai PH Melaka yang bertanding di 24 DUN.

Apabila Ridzuan membuka ruang pertanyaan dan cadangan melalui Facebook, ruangan komen beliau bertukar menjadi medan penduduk meluahkan pelbagai masalah yang dihadapi sejak sekian lama.

Ustaz Muhammad Fuad umpamanya memaklumkan bahawa penduduk Taman Merak Mas mengalami gangguan bekalan air lebih 10 kali sepanjang tahun ini. Muhammad Nurhaqkim Abdul Rahman menggesa pelebaran jalan Bukit Katil–Duyong–AMJ Semabok dipercepatkan selain mencadangkan pembinaan sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah menengah dan klinik desa baharu. Farid Ibrahim turut membangkitkan kekurangan sekolah menengah berikutan pertambahan kawasan perumahan manakala Yudzaimie Yunus mencadangkan pembinaan balai polis kerana balai berhampiran hanya terdapat di MITC Ayer Keroh.

Aduan infrastruktur lebih membimbangkan apabila Afham Hassan menceritakan keresahan penduduk Taman Putra dan kawasan belakang Hospital Melaka setiap kali hujan kerana sistem perparitan yang didakwanya tidak dinaik taraf sejak 50 tahun lalu walaupun pembangunan sekitar semakin pesat. Wei Cheng pula membangkitkan risiko kemalangan di persimpangan jalan akibat kenderaan membuat pusingan U sementara Shahrul Nizam mengadu penghadang jalan yang menghalang pandangan pemandu. Deel Akhbar mencadangkan padang bola Taman Bukit Katil dinaik taraf dengan trek joging, manakala Muhammad Afiq mengusulkan sistem aduan sehenti yang mudah diakses penduduk.

Pelbagai luahan ini memperlihatkan bahawa keperluan masyarakat Bukit Katil bukan sekadar projek pembangunan besar, tetapi penyelesaian masalah asas yang menyentuh keselamatan, keselesaan dan kualiti kehidupan seharian.

Masa sama, ia menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penyelesaian masalah setempat sepanjang tempoh perkhidmatan Adly yang pernah menjadi Ketua Menteri Melaka dan kini masih menjadi Timbalan Menteri Pertahanan. Tambahan pula, beliau turut memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah, kawasan berbeza daripada Bukit Katil yang terletak di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya. Walaupun sebahagian masalah melibatkan bidang kuasa agensi berlainan, keadaan tersebut menimbulkan persoalan tentang keupayaan mengimbangi tanggungjawab di peringkat DUN, Parlimen dan kerajaan Persekutuan.

Menyedari keperluan masyarakat ini, Ridzuan mengemukakan empat teras tawaran yang menumpukan penyelesaian masalah harian penduduk dengan pendekatan yang menggabungkan bantuan langsung, pembangunan komuniti dan kerjasama agensi kerajaan.

Teras pertama, kebajikan, keluarga dan pendidikan, mencadangkan subsidi 50 peratus yuran asuhan kanak-kanak bagi keluarga layak, khususnya B40, selain program tuisyen percuma dan kelas literasi kewangan untuk membantu keluarga mengurus perbelanjaan serta simpanan.

Teras kedua, rekreasi dan kebersihan persekitaran, menumpukan pembangunan kawasan rekreasi mesra keluarga dan penyelesaian isu anjing liar secara berperikemanusiaan. Teras ini berkait dengan pengalaman profesional Ridzuan dalam bidang kesihatan persekitaran, khususnya kepentingan keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan komuniti.

Teras ketiga, kemahiran, belia dan kerjaya, menawarkan latihan kemahiran bersama kolej komuniti dan penyedia latihan tempatan, pusat padanan pekerjaan, sokongan kebajikan serta peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU), selain cadangan pusat rehat khusus untuk penghantar makanan dan barangan. Pendekatan ini mengiktiraf keperluan meningkatkan kebolehpasaran penduduk serta kebajikan pekerja ekonomi gig.

Teras keempat, infrastruktur dan trafik cekap, memberi penekanan kepada sistem penyelarasan aduan melalui wakil penghubung komuniti dan pemantauan prestasi penyelesaian, selain kajian teknikal mengurangkan kesesakan jalan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Tawaran ini mempunyai kaitan langsung dengan keluhan penduduk mengenai kesesakan, jalan rosak, saliran dan prasarana yang memerlukan tindakan bersepadu.

Secara keseluruhannya, keempat-empat teras ini memperlihatkan pendekatan pembangunan yang berorientasikan keperluan setempat, bukannya semata-mata projek berskala besar. Penekanannya terhadap bantuan bersasar, penggunaan kemudahan sedia ada dan kerjasama agensi memberikan asas pelaksanaan yang boleh diperincikan secara berperingkat. Bagaimanapun, keberhasilannya tetap bergantung pada peruntukan, bidang kuasa dan kesediaan pihak berkaitan. Di sinilah pengalaman Ridzuan dalam pentadbiran kerajaan menjadi relevan, khususnya untuk menterjemahkan aduan masyarakat kepada tindakan yang tersusun, boleh dipantau dan dipertanggungjawabkan.

Dari sudut demografi, Bukit Katil mempunyai 35,359 pemilih, terdiri daripada 23,632 Melayu (66.83 peratus), 10,306 Cina (29.15 peratus), 1,352 India (3.82 peratus) dan 69 lain-lain (0.20 peratus). Wanita membentuk sedikit majoriti dengan 18,057 pemilih (51.07 peratus) manakala 17,547 orang (49.63 peratus) berusia antara 18 hingga 40 tahun. Sebanyak 6,628 pemilih (18.74 peratus) pula berusia lebih 60 tahun. Komposisi ini memperlihatkan sebuah kawasan yang mempunyai keperluan merentas kaum, generasi dan latar sosioekonomi, sekali gus menjadikan isu kebajikan keluarga, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam sebagai antara pertimbangan penting dalam pilihan raya.

Berdasarkan perkembangan kempen setakat ini, Ridzuan memperlihatkan usaha mendekati pelbagai lapisan masyarakat melalui kunjungan ke kampung tradisional, taman perumahan, pasar pagi, pasar malam, institusi pendidikan dan rumah ibadat. Pertemuannya dengan masyarakat Cina dan India, kegiatan bersama golongan belia, ziarah warga emas serta perhatian terhadap kebajikan keluarga dan OKU menunjukkan kepelbagaian pendekatan kempen yang dilaksanakan.

Pertemuan Ridzuan dengan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, turut mendapat perhatian apabila beliau berkongsi bukan sahaja nasihat dan doa yang diterima olehnya, malah seruan terbuka Ustaz Azhar supaya pengundi Bukit Katil memilih Ridzuan. Ridzuan juga turut menghadiri program Santai Orang Melaka bersama Ustaz Azhar Idrus di MITC pada 7 November yang menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Sementara itu, beberapa pengulas Facebookmenyuarakan harapan agar kepakaran profesional beliau dimanfaatkan dalam pentadbiran negeri. Muhd Nur Aiman, misalnya, berharap agar Ridzuan dipertimbangkan sebagai EXCO Kesihatan sekiranya menang kerana memahami selok-belok sektor kesihatan Melaka. Juki Mzzul pula bertanyakan visi, misi dan langkah proaktif yang akan dibawanya sekiranya diamanahkan portfolio berkenaan. Ini memberi bayangan bahawa Ridzuan sememangnya “EXCO material”.

Ringkasnya, pencalonan Ridzuan memperlihatkan pendekatan PAS mengetengahkan seorang calon yang mempunyai kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran, penglibatan kemasyarakatan dan hubungan akar umbi. Penerimaannya dalam kegiatan bersama jentera PAS–Umno, di samping interaksi mesra dengan calon PH dan BERSAMA, turut memberikan dimensi menarik kepada profil politiknya.

Gerak kerja kempen Ridzuan turut mendapat perhatian media arus perdana nasional, khususnya Utusan Malaysia yang pada 6 November lalu menyiarkan laporan wartawan Amran Mulup bertajuk Ridzuan yakin gelombang biru mampu tawan Bukit Katil. Laporan tersebut menonjolkan kerjasama jentera PAS–Umno, kehadiran Pengerusi BN Melaka serta perkembangan kempen Ridzuan dalam menghadapi Adly.

Dari sudut isu setempat pula, Utusan Malaysiamelaporkan komitmen Ridzuan menjadikan masalah banjir kilat dan penyelenggaraan longkang sebagai antara keutamaan sekiranya diberikan mandat. Liputan ini memperlihatkan bahawa perkembangan kempen Bukit Katil bukan sahaja mendapat perhatian media parti dan tempatan, malah turut dilaporkan oleh akhbar nasional, khususnya berkaitan dinamika kerjasama PAS–BN dan isu pembangunan kawasan.


Bagaimanapun, cabaran kerjasama PAS–BN di Bukit Katil tidak boleh dipandang ringan. Kehadiran Abu Bakar sebagai calon Bebas yang mempunyai latar penglibatan Umno menimbulkan persoalan tentang kesetiaan organisasi, pemindahan undi dan kemungkinan perpecahan sokongan tradisi. Pengalaman DUN Batu Burok, Terengganu, pada PRU 1974 memperlihatkan bagaimana calon Bebas berlatar Umno pernah menewaskan calon PAS yang bertanding atas tiket BN dalam suasana pertikaian pencalonan.

Dalam konteks lebih luas, perkembangan di Bukit Katil menjadi ujian terhadap kemampuan PAS dan Umno menterjemahkan kerjasama kepimpinan kepada persefahaman akar umbi yang berkekalan. Adalah penting pemimpin Umno Negeri dan Bahagian memastikan bahawa tidak ada elemen sabotaj di kalangan ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon Bebas atas apa-apa perkiraan politik sempit kerana hal ini sudah semestinya boleh menjejaskan kerjasama BN-PN di peringkat nasional. Lebih bagus jika dapat diminta calon Bebas mengumumkan penarikan diri dari bertanding (walaupun namanya akan tetap kekal terpampang di atas kertas undi) dan meminta penyokongnya menyokong Ridzuan demi agenda penyatuan ummah yang lebih besar.

Akhirnya, Bukit Katil bukan sahaja menjadi medan persaingan empat calon, tetapi juga cerminan cabaran lebih besar politik gabungan Malaysia. Rekod perkhidmatan, kualiti calon, kesepakatan jentera dan kebebasan pengundi membuat penilaian akan menentukan bagaimana persaingan ini difahami, bukan sekadar di Bukit Katil, tetapi dalam menilai hala tuju hubungan PAS–Umno pada masa hadapan.

DR MUKHTARUDDIN MUSA
Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi)





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Taiwan Gantung Rundingan Pelaburan Dengan Malaysia Susulan Kenyataan Anwar

KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Taiwan mengesahkan telah menggantung rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia pada bulan lalu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei mengesahkan perkara itu dalam satu sidang media di Taipei hari ini, dengan menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi melindungi kepentingan pelabur Taiwan serta mengambil kira aspek kedaulatan dan keselamatan ekonomi negaranya.

Menurut beliau, kenyataan Anwar telah menimbulkan kebimbangan terhadap keyakinan syarikat Taiwan untuk terus melabur di Malaysia.

Bagaimanapun, Taipei menegaskan pihaknya masih berkomunikasi dengan Kuala Lumpur dan berharap kerajaan Malaysia dapat mengiktiraf hubungan pelaburan serta kepercayaan bersama yang telah terjalin sekian lama bagi membuka ruang menyambung semula rundingan.

Perkembangan itu menyusul selepas laporan Nikkei Asia pada 9 November lalu mendedahkan bahawa rundingan bagi memperluaskan kerjasama perdagangan dua hala yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Oktober telah ditangguhkan.

Kenyataan Anwar cetus ketegangan diplomatik

Kontroversi bermula apabila Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu menegaskan pendirian Malaysia berhubung Dasar Satu China dan menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Apabila ditanya sama ada Malaysia akan mengecam Beijing sekiranya menggunakan kekerasan terhadap Taiwan, Anwar membandingkan situasi itu dengan kemungkinan sebuah negeri di Malaysia cuba memisahkan diri daripada Persekutuan.

Kenyataan tersebut mendapat bantahan keras Kementerian Luar Taiwan yang menyifatkannya sebagai menjejaskan keamanan serantau serta kepercayaan politik antara kedua-dua pihak.

Anwar kemudiannya mempertahankan pendirian Malaysia dengan menjelaskan bahawa Dasar Satu China telah menjadi dasar negara sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, sambil menegaskan kepentingan penyelesaian secara aman.

Implikasi terhadap pelaburan dan industri semikonduktor

Penggantungan rundingan itu menimbulkan kebimbangan terhadap prospek pelaburan baharu Taiwan di Malaysia, khususnya dalam sektor elektrik, elektronik dan semikonduktor.

Taiwan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2025, dengan jumlah perdagangan barangan mencecah RM233.02 bilion.

Antara syarikat teknologi Taiwan yang mempunyai pelaburan besar di Malaysia termasuk Siliconware Precision Industries, ASE Technology, Chipbond Technology dan Phison Electronics.

Walaupun operasi syarikat Taiwan yang sedia ada di Malaysia dilaporkan masih berjalan seperti biasa, pemain industri bimbang ketegangan diplomatik tersebut boleh mempengaruhi keputusan pelaburan baharu serta peluasan operasi pada masa hadapan.

Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Taiwan di Malaysia, Lin Kai-min berpandangan bahawa pelabur Taiwan mungkin menjadi lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan projek baharu, khususnya apabila faktor keselamatan rantaian bekalan dan perlindungan teknologi semakin penting.

Dalam perkembangan berasingan, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menjelaskan bahawa maklumat yang diterimanya menunjukkan mesyuarat berkenaan ditangguhkan dan bukannya dibatalkan sepenuhnya.

Presidennya, Jacob Lee turut memaklumkan bahawa aktiviti perniagaan dan pelaburan syarikat Taiwan di Malaysia setakat ini masih berjalan seperti biasa.

Perkembangan ini meletakkan Malaysia berdepan cabaran untuk mengekalkan keseimbangan hubungan diplomatik dengan China, sambil memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan terus terpelihara.

Persoalan utama kini ialah sejauh mana ketegangan diplomatik tersebut akan mempengaruhi keyakinan pelabur Taiwan dan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global. - 1Media.my

###

Fakta penting : RM233.02 bilion: Nilai perdagangan Malaysia-Taiwan pada 2025.

Calon PN DUN Bukit Katil garis empat tawaran utama




KOTA MELAKA
: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.17 Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif menggariskan empat tawaran utama yang bakal menjadi asas aspirasi dan perancangannya kepada pengundi jika diberikan mandat pada 14 November ini.

Menurut Ridzuan, tawaran tersebut merangkumi bidang kebajikan, keluarga dan pendidikan, kemahiran, belia dan kerjaya, infrastruktur dan trafik cekap, serta rekreasi dan kebersihan persekitaran.

Katanya, di bawah tawaran kebajikan, keluarga dan pendidikan, akan diperkenalkan bantuan dan subsidi asuhan kanak-kanak, kelas literasi kewangan komuniti serta program tuisyen percuma untuk komuniti B40.

Manakala bagi tawaran kemahiran, belia dan kerjaya pula, program kemahiran komuniti dan kolej komuniti akan diadakan, selain inisiatif sokongan serta kebajikan untuk orang kurang upaya (OKU), pusat padanan dan peluang pekerjaan serta pusat rehat komuniti untuk rider turut dirancang.

“Bagi tawaran infrastruktur dan trafik cekap, Ridzuan menjanjikan perkenalan penghubung komuniti dan pengurusan pembangunan infrastruktur yang sistematik serta pelan penyuraian kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Sementara itu, di bawah tawaran rekreasi dan kebersihan persekitaran, beliau akan memperkenalkan pembangunan ruang rekreasi komuniti selain pelaksanaan pengurusan anjing liar secara berperikemanusiaan bagi memastikan keselamatan masyarakat terjaga.

“Kita akan menyelesaikan aduan anjing liar di kawasan perumahan atau mana-mana tempat yang dilaporkan dengan penuh berhemah dan berperikemanusiaan,” ujar Ridzuan ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, Semabok semalam.

Menjawab soalan mengenai persaingan dengan calon lain, Ridzuan berkata setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing di mana beliau percaya pengalaman profesionalnya selama beberapa tahun memberi nilai tambah dalam menyumbang ilmu dan pengalaman untuk masyarakat.

“Bagi pihak lawan, mereka juga mempunyai latar belakang dan kelebihan tersendiri. Saya menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan siapa yang layak mewakili mereka dalam pilihan raya ini,” katanya.

Ridzuan turut menegaskan isu-isu utama diketengahkan merupakan perkara yang akan beliau bangkitkan agar mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau mahu masyarakat di kampung-kampung juga diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan masalah mereka melalui wakil rakyat yang dipilih nanti. – HARAKAHDAILY 10/11/2026



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRU mungkin lebih awal jika BN-PN bentuk Kerajaan Melaka




KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini berpotensi memberi kesan kepada perkembangan politik di peringkat Persekutuan, termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen lebih awal.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku susulan keputusan pilihan raya berkenaan, khususnya jika Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) berjaya membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkembangan politik semasa turut memberi tekanan yang boleh membawa kepada perubahan landskap politik negara dalam tempoh terdekat.

“Tidak pelik kalau berlaku pembubaran lebih awal daripada tempoh. Jadi, pada saya semua pihak kena bersedia.

“Pertama, bersedia menghadapi kemungkinan itu (brace for impact) dan seterusnya melengkapkan gerak kerja masing-masing untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Tidak lama lagi, sekejap sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kemungkinan kesan keputusan PRN Melaka terhadap politik di peringkat Pusat dalam satu sesi podcast Kekal Tenang, malam tadi.

Untuk rekod, PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 September lalu yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan BN menguasai 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan PN dua kerusi pada pilihan raya lalu.

PRN Melaka merupakan pilihan raya negeri ketiga diadakan tahun ini selepas Johor pada 11 Julai, diikuti Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

Setakat Julai 2026, jumlah pemilih berdaftar di Melaka mencecah 687,697 orang berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021. – HARAKAHDAILY 10/11/2026






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta



  • Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.
  • Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata peletakan jawatan itu selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lepas.
  • “Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KUALA LUMPUR — Anthony Loke hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata peletakan jawatan itu selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lepas.

“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.

Loke juga mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang menerajui kementerian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar serta segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

— BERNAMA






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Najib diperintah jalani baki hukuman penjara kes SRC di rumah



  • Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.
  • Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.
  • Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penghakimannya, Aslam berkata beliau telah membaca perintah pengampunan bersyarat, bukti pembayaran penuh denda, perintah terdahulu dan dokumen lain yang berkaitan.

“Dengan ini, mahkamah membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov 2026 dan digantikan sepenuhnya dengan perintah dalam permohonan.

“Selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta hingga 23 Ogos 2028,” katanya.

Najib, yang hadir di galeri awam memakai kurta biru dan ditemani anaknya, Nooryana Najwa dilihat tersenyum ketika mendengar keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke Penjara Kajang dengan diiringi oleh pegawai penjara. –BERNAMA







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Jangan Terpesona Dengan Pentas Pidato, Pengalaman Urus Rakyat Lebih Penting – Ab Rauf

MELAKA, 10 November 2026 – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpesona atau terlalu ghairah dengan kebolehan seseorang calon berpidato, sebaliknya menilai keupayaan sebenar mereka dalam mengurus masyarakat dan menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, kemahiran berucap di atas pentas tidak semestinya menggambarkan kemampuan seseorang untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, khususnya dalam menangani pelbagai isu dan keperluan penduduk setempat.

Menurutnya, pengalaman turun padang, memahami denyut nadi masyarakat serta keupayaan mengurus pelbagai kepentingan penduduk merupakan antara aspek penting yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin.

Mengulas mengenai calon muda di Kuala Linggi, Ab Rauf turut mempersoalkan sejauh mana pengalaman mereka dalam mengurus masyarakat dan memahami realiti pentadbiran di peringkat akar umbi.

Beliau turut menyindir dakwaan bahawa pelbagai masalah masyarakat boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sedangkan realiti pengurusan rakyat memerlukan pengalaman, perancangan dan keupayaan menyelaras pelbagai pihak.

Katanya, menjadi pemimpin bukan sekadar menyampaikan janji atau memberikan gambaran bahawa segala permasalahan boleh diselesaikan dengan mudah, sebaliknya perlu dibuktikan melalui tindakan dan rekod perkhidmatan.

Peringatan itu dilihat sebagai satu teguran terhadap kecenderungan menilai calon berdasarkan populariti dan kemampuan berpidato semata-mata, tanpa mengambil kira pengalaman serta keupayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Dalam konteks politik semasa, isu kepimpinan generasi muda turut menjadi perhatian apabila parti-parti politik semakin menampilkan calon baharu bagi mendapatkan sokongan pengundi.

Namun, persoalan mengenai keseimbangan antara semangat pembaharuan, pengalaman dan keupayaan mentadbir terus menjadi antara perkara yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan kepimpinan masyarakat. - 1Media.my

“Bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan” – Ahmad Zahid



BANGI, 30 JAMADILAWAL — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berpandangan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini.

Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, lebih baik pembubaran Parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.

“Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet, walaupun ada seorang yang mungkin telah komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib ke rumah beliau bagi menjalani baki hukuman.

“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet. Sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan, iaitu kita berikan mandat semula kepada rakyat. Dan kita bentuklah Kabinet baharu selepas itu,” katanya selepas ditemui pada program Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi, di Tangga Batu, hari ini.

Mengikut laporan Astro Awani, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet.

Ia susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang akan berakhir pada 11 Disember ini.

Sementara itu, pada 6 November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk tahanan rumah.

Pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang. 


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PN yakin peluang bentuk Kerajaan Melaka positif




KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan penting untuk Perikatan Nasional (PN) membuktikan sokongan rakyat terhadap gabungan ini, khususnya dalam usaha membina keyakinan bagi menerajui kerajaan negeri dan seterusnya menuju Putrajaya.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau yakin berdasarkan perkembangan semasa dan maklumat yang dikumpulkan, peluang gabungan itu di Melaka adalah positif serta memberi keyakinan untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, kehadiran ribuan orang dalam program di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bersama pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus serta konvoi yang disertai Ketua Pemuda PAS dan Umno memperlihatkan suasana memberangsangkan.

“Namun perkara yang lebih penting ialah membina sikap saling mempercayai dalam kalangan rakan kerjasama,” katanya dalam Podcast Kekal Tenangdihoskan Suffi Kamari, semalam, ketika membincangkan suasana menjelang PRN Melaka.

Ahmad Samsuri berkata, pengundi kini lebih bermaklumat dan mampu menyemak maklumat, meskipun mereka turut berdepan lambakan maklumat palsu.

Menurutnya, perkembangan generasi muda, termasuk pengundi milenial, Gen Z dan pengundi kali pertama membawa perspektif baharu dalam politik.

“Pengundi, terutama pengundi-pengundi ‘first time voters‘ ini, mereka mahukan penyelesaian dalam kerajaan. Berkerajaan untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencari masalah atau mencari alasan untuk tidak menyelesaikan masalah,” jelasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, pendekatan menyelesaikan masalah itu perlu dibawa ke peringkat seterusnya sekiranya PN mahu menerajui Putrajaya.

Keyakinan terhadap sokongan rakyat

Mengulas keyakinannya terhadap usaha PN menuju Putrajaya, Ahmad Samsuri berkata, beliau menilai data, maklumat serta kajian yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kajian berkenaan menunjukkan peningkatan kepercayaan rakyat dalam pelbagai segmen, bagaimanapun setiap pihak yang diberi amanah perlu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

Beliau juga mengaitkan perubahan sokongan politik dengan janji yang tidak ditunaikan serta keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat tidak lengkap.

Sebagai contoh, beliau menyebut keputusan United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah, yang menurutnya dipengaruhi fakta tidak tepat yang digunakan dalam kempen.

“Kesan keputusan sedemikian akhirnya ditanggung kerajaan dan rakyat,” jelasnya yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman.

Beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri United Kingdom bahawa berharap negara itu suatu hari nanti kembali menyertai Kesatuan Eropah, namun tidak akan memulakan langkah tersebut kecuali jika tuntutan itu datang daripada rakyat.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, pengundi mungkin membuat pembetulan dalam pilihan raya akan datang selepas menilai janji-janji yang tidak ditunaikan.

Menurut Samsuri, kecenderungan undi yang dilihat dalam beberapa pilihan raya, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, serta perkembangan menjelang PRN Melaka, menjadi antara petunjuk yang diperhatikan PN.

Jelasnya, PRN Melaka penting untuk memberi gambaran tentang peluang kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) pada masa hadapan.

Jentera PN diminta terus bekerja

Mengenai persiapan menghadapi PRN Melaka, Ahmad Samsuri berkata, beliau telah mengunjungi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PN dan menerima taklimat daripada bilik gerakan.

Menurutnya, calon serta jentera daripada GERAKAN, WAWASAN dan PAS menunjukkan komitmen tinggi, selain menerima bantuan daripada negeri-negeri lain.

Jelasnya, jika komitmen itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian pada Sabtu, beliau yakin sasaran PN di Melaka berada dalam jangkauan yang positif.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan calon dan jentera supaya tidak menganggap kemenangan sudah pasti sebelum pertandingan berakhir.

“Kalau main bola, tak cukup 90 minit, belum tentu lagi. Ada pasukan yang 2-0. 2-0 kalah kan? Tapi 5 minit yang terakhir, dia sempat jaring 3 gol,” ujarnya.

Beliau berkata kerusi yang dianggap sukar juga masih boleh dimenangi sekiranya jentera terus bekerja sehingga saat akhir.

Kerjasama untuk tadbir negeri

Ketika ditanya mengenai sumbangan PN dalam pentadbiran Melaka sekiranya gabungan itu menjadi sebahagian kerajaan, Ahmad Samsuri berkata zaman sebuah parti memerintah tanpa pengawasan atau teguran sudah berlalu.

Menurutnya, realiti politik semasa menuntut parti-parti bekerjasama, seperti yang berlaku di beberapa negara maju apabila tiada satu parti memperoleh majoriti sendiri.

Beliau berkata, penglibatan PN dalam kerajaan negeri boleh menyediakan ruang untuk menyumbang idea dan menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap parti yang lebih besar.

Sebagai contoh, beliau menyentuh keadaan di Terengganu ketika PN memerintah dengan kemenangan 32-0.

“Walaupun tiada pembangkang di Dewan Undangan Negeri, teguran masih boleh disampaikan melalui media sosial, netizen dan perbincangan masyarakat, termasuk di kedai kopi,” jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata, beliau menggalakkan Ahli Dewan Undangan Negeri di Terengganu menegur kerajaan, sama ada dalam Persidangan DUN atau di luar dewan, dengan memberikan pandangan yang membina.

Beliau berpandangan kerjasama di Melaka kelak boleh membuka ruang untuk rakan dalam kerajaan saling menegur dan membantu, sekali gus menggabungkan idea daripada pihak yang berbeza.

Hubungan negeri dan Persekutuan

Menjawab pandangan bahawa calon yang mempunyai hubungan dengan Kerajaan Pusat lebih mudah membawa manfaat kepada negeri, Ahmad Samsuri berkata isu itu tidak semudah mempunyai hubungan langsung dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, penilaian perlu dibuat terhadap keupayaan kerajaan negeri secara keseluruhan, bukan hanya hubungan seseorang wakil rakyat dengan pemimpin Pusat.

Beliau juga mengingatkan bahawa Pilihan Raya Umum boleh berlangsung dalam tempoh kurang daripada setahun, dan kedudukan politik selepas itu bergantung kepada keputusan rakyat.

Menurutnya, hujah mengenai hubungan langsung dengan Kerajaan Pusat merupakan pendekatan lama.

“Perkara utama ialah bagaimana sesebuah negeri bergerak ke hadapan, dengan hubungan negeri dan Persekutuan diatur melalui terma yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau memberikan Kedah sebagai contoh, dengan menyatakan jumlah pelaburan yang direkodkan di negeri itu dalam tempoh dua tahun lalu melebihi RM100 bilion.

Tambahnya, angka itu merupakan rekod baharu dan belum pernah dicapai ketika BN mentadbir negeri berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata kebersamaan BN dan PN dalam menjaga negeri Melaka boleh diterjemahkan kepada kerjasama di tempat lain selepas ini. – HARAKAHDAILY 10/11/2026





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo