BANGI, 9 SYAWAL — Perniagaan yang dijalankan oleh ‘YouTuber’, ‘Instafamous’, dan ‘pempengaruh’ perlu mengisytihar pendapatan yang diperolehi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Penolong Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Syed Mohd Syukree Syed Mohd Kamil berkata, kegagalan melaporkan pendapatan dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah, lapor Sinar Harian.
“Menurut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) boleh menyebabkan seseorang dikenakan denda antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, anda boleh dikenakan audit cukai, melibatkan semakan menyeluruh terhadap semua transaksi dan dokumen kewangan perniagaan.
“Proses ini boleh jadi rumit, memakan masa dan menjejaskan reputasi serta kewangan perniagaan, jadi boleh mula lapor pendapatan sekarang melalui Borang B atau e-B di Portal MyTax dari 1 Mac hingga 15 Julai,” katanya
Beliau berkata demikian dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio hari ini yang membincangkan topik ‘Perniagaan Untung atau Rugi: Wajib Hantar Borang B.
Tambah beliau, setiap individu yang menjalankan perniagaan wajib melaporkan pendapatan kepada LHDN walaupun mengalami kerugian.
Katanya, sebilangan pembayar cukai menyangka tidak perlu melaporkan pendapatan sekiranya mengalami kerugian dan itu merupakan tanggapan salah.
“Rugi dalam perniagaan adalah perkara biasa. Tak kira untung atau rugi, anda tetap wajib hantar dan laporkan pendapatan setiap tahun. Jangan risau kalau perniagaan rugi, tidak semestinya anda kena cukai.
“Kalau anda mempunyai pendapatan lain seperti gaji, gabungan pendapatan akan dikira dalam Borang B (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi individu yang menjalankan perniagaan). Jadi, masih berkemungkinan anda dikenakan cukai,” katanya.
Justeru, Syed Mohd Syukree menyarankan agar rekod percukaian perniagaan termasuk penyata kewangan, penyata bank, rekod transaksi tunai, invois pembekal, dan invois jualan, mesti disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment