BANGI, 15 SYAWAL — Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memandangkan kawasan terbabit merupakan kubu kuat UMNO, kata penganalisis politik, Prof Dr Mazlan Ali.
Justeru, beliau berkata, calon Perikatan Nasional (PN) tidak boleh mengambil mudah persaingan dalam pilihan ini meskipun gabungan itu sebelum ini berjaya meraih sokongan menerusi gelombang Melayu.
“BN dalam keadaan lemah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih berupaya mempertahankan kerusi itu.
“Ayer kuning ni kubu BN sejak kerusi itu diwujudkan pada tahun 1986.
“BN tidak pernah kalah di situ, walaupun pada saat UMNO lemah. Pada PRU-15 yang lalu, dia (BN) menang juga dekat situ,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, 55% daripada pengundi di kawasan itu adalah Melayu yang disifatkan sebagai penyokong tegar UMNO.
Ia diikuti 40% pengundi bukan Melayu yang mana Cina merangkumi 21% manakala India (14%) dan orang asli dianggarkan sekitar 8%.
Keputusan PRU15 di DUN Ayer Kuning menyaksikan kerusi itu dimenangi calon daripada BN, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang memperoleh sebanyak 9,088 undi.
Hasil undian tersebut telah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mej Dr Mohd Nazri Hashim (B) yang mendapat 6,875 manakala calon PN, Ustaz Farid memperoleh 6,812 undi dihadapan calon PEJUANG, Maziah Salim yang memperoleh 105 undi dan calon PSM, Bawani KS dengan 586 undi.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berharap, PRK kali ini menyaksikan persaingan sihat antara calon yang bakal mengetengahkan idea berupaya untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata, selepas melalui beberapa siri PRK dan PRU sebelum ini, kematangan politik harus diterjemahkan dalam bentuk pertarungan hujah, bukan sentimen.
“Jadi, maknanya di sini, pihak parti atau mana-mana pihak yang bertanding, termasuk penyokong mereka, perlu lebih matang dalam menghadapi PRK kali ini. Kita telah melalui beberapa PRK dan PRU sebelum ini.
“Sepatutnya, semua parti dan calon yang bertanding bergerak ke hadapan dengan mengemukakan idea lawan idea, fakta lawan fakta, hujah lawan hujah, serta membentangkan bukti pembangunan dan segala perkara yang bersifat optimis demi kemajuan masyarakat serta penduduk setempat,” katanya kepada wartawan TV Pertiwi.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment