NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN akan perjuang hak milik penduduk Kg Sg Baru




KUALA LUMPUR
: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan untuk terus memperjuangkan hak milik tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang mempunyai geran sah dan merupakan warisan masyarakat Melayu Islam di kawasan itu.

Pengerusi Portfolio Wilayah Persekutuan PN, Dato’ Azman Nasrudin berkata, pihaknya akan membawa isu itu secara konsisten ke Parlimen serta terus memberi tekanan kepada kerajaan agar tidak membenarkan sebarang unsur pencerobohan hak melalui agenda kapitalis.

“Hak milik tanah di sini adalah tanah yang bergeran dan mempunyai hak milik kepada setiap penduduk. Jadi bagi pihak Ahli Parlimen PN, kami seia sekata.

“Untuk terus mempertahankan hak milik warisan tanah orang-orang Melayu Islam di Kampung Sungai Baru,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama penduduk Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.

Turut hadir 24 Ahli Parlimen PN bagi menunjukkan solidariti terhadap perjuangan penduduk mempertahankan hak mereka.

Azman turut merakamkan penghargaan komitmen memperjuangkan isu itu khususnya dua figura utama, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Kampung Sungai Baru, Zainab Alias dan wakil penduduk, Rafidah Ibrahim yang disifatkan sebagai ‘induk perjuangan’ penduduk.

Kata Azman yang juga Ahli Parlimen Padang Serai itu, semua Ahli Parlimen PN komited untuk membangkitkan persoalan berkaitan tanah itu dalam persidangan Parlimen yang akan datang.

“Insya-Allah, Ahli Parlimen PN akan membahaskan isu-isu ini dan bertanya soalan-soalan berkaitan di Parlimen bagi memastikan hak milik penduduk terus dikekalkan, dan tidak ada mana-mana kapitalis yang membuat sesuka hati untuk mengambil tanah di sini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata lawatan PN ke kampung berkenaan adalah bagi mendapatkan pemahaman yang tepat daripada penduduk sendiri, sekali gus membetulkan naratif dikelirukan pihak tertentu berhubung pampasan dan status tanah.

“Naratif di luar seperti yang disebut Rafidah dan Kak Nab tadi, ada yang kata pampasan tak cukup dan sebagainya. Jadi petang ini kita datang untuk faham betul-betul.

“Apabila kita faham isu ini, kita akan bawa naratif yang telah dipersetujui penduduk bahawa tanah milik warisan orang Melayu di Kampung Baru ini mesti dipertahankan. Sebab ini tanah ‘prime’, tanah MAS (Malay Agriculture Settlement) ,” katanya.

Dalam pada itu, Azman turut menyentuh isu cadangan pembentangan Akta URA (Urban Renewal Act) yang dilihat berkait rapat dengan isu Kampung Sungai Baru.

Katanya, meskipun akta itu belum dibentangkan secara rasmi, PN telah membangkitkan perkara berkaitan had persetujuan serta perlindungan hak penduduk dalam sesi terdahulu di Parlimen.

“Akta URA ini kita dah sebut-sebut, kita dah bahaskan sedikit sebanyak. Belum dibentang pun kita dah mula sebut dalam Parlimen bagaimana had untuk persetujuan dan sebagainya.

“Kita akan terus perjuangkan hak-hak yang berkaitan dengan penduduk. Ini bukan isu orang Melayu saja, ini isu hak penduduk yang perlu kita pertahankan,” katanya.

Azman turut memberi jaminan bahawa PN akan terus komited mengangkat suara rakyat dalam dan luar Parlimen selagi isu itu belum diselesaikan secara adil. – HARAKAHDAILY 9/4/2025




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo