Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata, surat tersebut dihantar secara serahan tangan kepada Timbalan Perdana Menteri itu lebih sebulan lalu, namun setakat ini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihaknya.
“Setakat ini, tiada sebarang maklum balas yang diberikan walaupun surat telah diserahkan sendiri di pejabatnya sebulan lalu,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Takiyuddin memberitahu, bagi Parlimen di negeri yang PN menjadi kerajaan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, mereka menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, walaupun tidak banyak.
Katanya, peruntukan itu disalurkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kawasan Parlimen yang terlibat.
Namun, menurutnya, Ahli Parlimen yang berasal dari negeri yang tidak ditadbir oleh PN seperti Selangor, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, tidak menerima peruntukan tersebut.
Kata beliau, Ahli Parlimen di negeri-negeri tersebut terpaksa menggunakan wang poket sendiri untuk membantu rakyat, dan mereka juga sering mencari sumbangan daripada pihak luar supaya kerja-kerja membantu rakyat dapat diteruskan.
“Sebagai contoh, untuk Majlis Hari Raya Aidilfitri, jika kita ada peruntukan dari kerajaan, kita boleh belanja untuk rakyat. Tetapi hari ini, kami terpaksa mencari sendiri dengan berkongsi bersama ADUN-ADUN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Bentara Kanan Ustaz Datuk Ahmad Yakub serta lain-lain pimpinan.
Takiyuddin juga berkata, pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas berhubung perkara itu, namun ia perlu diperincikan bentuk jawatankuasa itu dan perkara yang akan dibincangkan dalamnya.
Menurutnya, mesti akan ada perkara terlebih dahulu yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut sebelum ianya dibincangkan.
“Pengalaman kita sewaktu menjadi kerajaan pada tahun 2021, kerajaan sediakan satu draf yang ditubuhkan oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh semua parti politik dari pihak kerajaan dan pembangkang.
“Kita berharap perkara yang sama juga akan diadakan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan sewaktu di bawah Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/4/2025
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment