NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peruntukan RM6.13 juta tidak wajar, kempen politik wang




TAPAH
: Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki menyifatkan pengumuman peruntukan RM6.13 juta menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak wajar dan boleh dianggap sebagai kempen politik wang.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, sama ada pengumuman dibuat sebelum atau selepas penamaan calon, ia tetap mempengaruhi pengundi kerana semua pihak sedia maklum akan berlaku PRK apabila berlakunya kematian penyandang kerusi berkenaan.

“Sama ada pengumuman dibuat sebelum penamaan calon ke ataupun selepas penamaan calon sama saja. Sebab semua orang tahu bila berlaku kematian pasti akan ada Pilihan Raya Kecil. Jadi sepatutnya tak boleh umumlah walaupun sebelum penamaan calon.

“Sebab sudah tentulah ia akan mempengaruhi pengundi. Ini juga boleh kita letakkan sebagai satu kempen politik wang ataupun politik pembangunan dengan janji-janji yang seumpama itu untuk mempengaruhi pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdailyketika menyertai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek, dalam program ziarah penduduk di Unit Daerah Mengundi (UDM) Tanjung Keramat, di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya peruntukan itu diumum Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum kematian ADUN, ia boleh diterima sebagai projek kerajaan, namun apabila diumumkan selepas berlaku kekosongan, ia jelas bermotifkan politik.

“Sebab semua orang tahu bila berlaku kematian sudah tentu akan ada PRK. Sebab kalau misalnya peruntukan itu dibuat sebelum ADUN itu meninggal dunia, itu lain. Itu memang projek kerajaan.

“Ini ADUN dah meninggal dunia, dah tentu ada PRK. Mengapa tetap diumumkan (peruntukan pembangunan) sebanyak RM6.13 juta oleh Menteri KPKT. Jadi pada saya tak wajarlah,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membangunkan Tapah, langkah itu sepatutnya diambil lebih awal, bukan selepas kawasan itu dikosongkan.

“Kalau pun betul kerajaan berhasrat untuk nak membangunkan Tapah, sepatutnya sebelum ni lagi bangunkanlah Tapah. Sebab Tapah ni sejak dahulu memang dimenangi oleh parti Barisan Nasional (BN).

“Dalam PRU umum baru ni pun ketiga tiga kerusi, DUN Chenderiang pun BN, DUN Ayer Kuning pun BN, Parlimen pun BN daripada parti MIC. Tapi tak ada pembangunan. Sekarang baru nak bangun. Untuk tujuan apa sebenarnya? Melainkan untuk mempengaruhi pengundi.

“Ataupun kalau betul nak buat pembangunan, tunggulah lepas pilihan raya. Sama ada BN menang ataupun PN menang, umumlah pembangunan kalau itu hasrat kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya kerajaan tidak memperdaya pengundi dengan janji yang belum tentu dilaksanakan.

“Jadi jangan nak mengelabui mata pengundi, jangan nak menipu sebab itu semua janji-janji pilihan raya. Itu pun pasti ke akan dibuat pembangunan atau hanya pengumuman sahaja? Itu pun belum pasti lagi.

“Jadi rakyat jangan terpedaya dengan tipu daya kerajaan yang ada hari ni. Dulu waktu mereka jadi pembangkang, macam-macam dia kata pada kerajaan. Sekarang bila jadi kerajaan, macam itu juga. Maknanya tak boleh pakailah ni kerajaan (PH-BN),” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan sebarang pengumuman peruntukan dibuat selepas penamaan calon dalam tempoh pilihan raya.

Beliau menjelaskan bahawa pengumuman peruntukan RM6.13 juta oleh Menteri KPKT dibuat pada Khamis, 10 April 2025, iaitu sebelum penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April 2025.

Menteri Komunikasi turut mengingatkan semua pihak agar mematuhi larangan berkempen termasuk tidak menggunakan sumber kerajaan sepanjang PRK berlangsung.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, pada 22 Februari 2025 susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan pengundian awal pada 22 April. – HARAKAHDAILY 14/4/2025






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo