NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tegas pertahan akidah Islam tanpa ada kompromi




SHAH ALAM
: PAS tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangan Islam yang jelas iaitu mempertahankan akidah dengan tegas tanpa apologetik, sambil terus menyantuni kaum dan agama lain dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Pengarah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor, Yusfarizal Yusoff, berkata Islam sendiri menjunjung konsep kebebasan beragama sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat ‘La ikraha fid din’.

Serta katanya, dari panduan ditunjukkan dalam sirah Nabi Muhammad SAW ketika membenarkan kaum Yahudi tinggal di Madinah selagi tidak melanggar perjanjian.

“Islam adalah agama Persekutuan dan agama majoriti di Malaysia, namun agama lain juga bebas diamalkan dengan harmoni. PAS kekal konsisten dalam menghormati adat dan budaya kaum lain, tanpa sesekali berkompromi soal akidah,” katanya di _Facebook_, hari ini.

Beliau berkata, isu lawatan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini telah dimanipulasi hingga mencetuskan kekeliruan, walhal tindakan beliau selari dengan pendirian Islam dan tidak melibatkan sebarang pelanggaran prinsip.

“Ustaz Nushi tidak menyertai sebarang ritual keagamaan. Beliau hanya menerima kalungan selendang ‘VIP’ dan bunga dan ia merupakan satu bentuk penghormatan budaya yang telah lama diterima oleh pimpinan Islam termasuk Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” katanya.

Yusfarizal menegaskan bahawa garis panduan perlu dijelaskan agar masyarakat dapat membezakan antara adat budaya dan unsur ritual keagamaan.

Beliau turut menyokong usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyediakan garis panduan berkenaan, sebelum dibantah oleh pihak tertentu.

Oleh demikian, beliau mencadangkan empat prinsip utama sebagai panduan iaitu rumah ibadah yang sah mesti dihormati, manakala binaan tidak sah perlu ditangani mengikut undang-undang.

“Seterusnya, pemimpin Islam boleh hadir ke rumah ibadah bukan Islam untuk sambutan bersifat muhibah dan bukan keagamaan; penyertaan dalam acara adat budaya yang tidak menjejaskan akidah dibenarkan; dan penglibatan dalam ritual atau simbol keagamaan wajib dielakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak tuduhan hipokrasi terhadap PAS yang dikatakan mengkritik pemimpin tertentu atas isu keagamaan sebelum ini.

“Kalau benar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikenakan ‘calitan dahi’, maka ia sememangnya menjadi isu kerana simbol seperti ‘bindu’ atau ‘pottu’ mempunyai unsur keagamaan Hindu. Itu bezanya dan PAS tidak pernah menerima simbol keagamaan, hanya penghormatan budaya,” tegas beliau.

Menyentuh isu ‘timing’ lawatan Nushi yang dikaitkan dengan kontroversi sebuah kuil di ibu negara, Yusfarizal berkata, inilah masa terbaik untuk PAS menjernihkan kekeliruan dan menunjukkan prinsip Islam yang sebenar.

“Kalau Islam memimpin, kuil yang dibina secara sah tidak akan dirobohkan. Tapi apa saja rumah ibadah, hatta surau sekalipun, akan diambil tindakan jika dibina secara haram. Negara ini berlandaskan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menyelar tohmahan bercanggah terhadap PAS yang pada satu masa dituduh ekstremis, dan pada masa lain pula dituduh menyokong ajaran sesat demi meraih undi.

“Dalam kekeliruan ini, ada hikmahnya. Ia akan membuka mata masyarakat terhadap prinsip Islam yang tegas dalam akidah, tetapi tetap meraikan kepelbagaian dengan adil dan berhemah,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2025




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo