NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Komunisme ancam Islam dan Kesultanan Melayu




KUALA LUMPUR
: Bekas Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim memberi amaran bahawa kebangkitan semula fahaman komunisme di Malaysia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut menjejaskan kedudukan Islam dan institusi Kesultanan Melayu.

Beliau menegaskan bahawa ideologi komunisme secara terang-terangan meletakkan agama di tempat paling bawah, sekali gus bertentangan dengan asas kenegaraan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kedudukan Islam di sisi komunis adalah paling bawah dan tidak ada tempat. Apakah ini tidak penting kepada kita? Dan kenapa kita tidak bangun untuk menentang secara jelas?” katanya dalam sidang media di Wisma Budi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini semalam.

Beliau berkata, jika fahaman itu dibiarkan berleluasa tanpa sekatan, ia mampu menghancurkan sistem demokrasi negara dan memperkecil peranan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak negara.

“Kita boleh rakam terus bahawa Raja-Raja Melayu, Kesultanan yang ada di Malaysia ditandakan masanya untuk sampai ke tahap yang makin lama makin kecil dan tidak bermanfaat,” katanya.

Beliau turut membangkitkan keperluan kerajaan membentuk satu resolusi Parlimen yang jelas mengisytiharkan bahawa komunisme terus diharamkan serta mendidik generasi muda mengenai bahaya ideologi ini.

“Kerajaan mesti wujudkan gazetnya, aktanya, ataupun resolusi Parlimen yang menyatakan bahawa komunis ini musuh negara. Jangan biarkan anak-anak kita hidup tanpa tahu sejarah sebenar, tentang merdeka, tentang ancaman Chin Peng dan lain-lain,” katanya.

Rais turut meluahkan kebimbangan apabila terdapat usaha mempromosikan kejayaan China dalam bidang sains dan ekonomi sebagai naratif untuk menarik minat rakyat terhadap sistem komunisme secara halus.

“Sekarang ada satu perkembangan yang kita lihat dan ia membawa kepada mensohorkan komunisme itu dalam bentuk modul baru. Mereka bawa contoh bagaimana majunya negara China, bagaimana saintifik dan ekonominya. Tapi ini tidak relevan bagi kita.

“Yang relevan ialah bahawa komunisme tetap musuh negara, dan Islam serta Kesultanan mesti jadi perisai kepada perjuangan hidup kita,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh isu kontroversi pemilikan KL Tower sebagai contoh bagaimana keputusan-keputusan kerajaan mutakhir ini semakin jauh daripada semangat kenegaraan.

“Sepatutnya kontrak KL Tower diteliti dahulu, saya dan rakan-rakan di Kementerian Komunikasi sebelum 2011 telah pastikan kepentingan negara dijaga. Tapi sekarang, seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’,” katanya.

Sidang media tersebut diakhiri dengan gesaan kepada kerajaan agar tidak terus leka dan segera bertindak membanteras sebarang kegiatan yang berpotensi menghidupkan kembali ideologi komunis di tanah air.

“Saya harap isu ini muncul sebagai satu perjuangan yang tiada hentinya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2025






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo