Seorang pemimpin PKR di Perlis telah menafikan beberapa dakwaan rasuah dan amalan kronisme membabitkannya, dua tahun selepas dilantik menjadi pengerusi sebuah syarikat milik Kementerian Pendidikan yang mengalami kerugian.
Amin Ahmad, bekas ahli Parlimen Kangar yang tewas pada pilihan raya umum yang lalu, berkata dakwaan yang dibuat Aliff Ahmad, seorang penyiasat yang kerap merungkai salah guna kuasa dan penipuan orang politik dan dunia korporat dengan menerbitkan dokumen dan data, adalah "salah".
"Saya telah berurusan dengan peguam untuk mengambil jalan perundangan bagi menjawab isu ini," kata Amin ketika dihubungi MalaysiaNow mengenai penulisan Aliff pada minggu lalu yang kini tular di media sosial.
Amin berkata terpulang kepada mana-mana pihak yang disebut Aliff untuk mengambil tindakan bersesuaian.
Beliau yang baru-baru ini memenangi pemilihan PKR cabang Kangar, percaya Aliff mendapat butiran salah daripada musuh politiknya dalam parti itu.
"Saya sangat pasti mereka yang cuba menjatuhkan saya dalam parti dan politik juga akan mengambil peluang memberi maklumat yang tidak disahkan," katanya di Facebook sebelum ini.
Dalam hantarannya, Aliff, pengasas bersama SCRUT, platform yang membantu orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan syarikat kereta terpakai, mendakwa Amin mengukuhkan pengaruhnya selepas tewas pada pilihan raya umum lalu untuk menguntungkan keluarga dan sahabat karibnya.
Seperti beberapa pemimpin Pakatan Harapan lain yang tewas dalam PRU, Amin juga diberikan jawatan dalam syarikat kerajaan apabila dilantik pada Mac 2023 sebagai pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), sebuah syarikat milik Kementerian Pendidikan yang mengalami kerugian.
Kira-kira setahun selepas itu, isteri beliau pula dilantik sebagai pengarah urusan di Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional.
Aliff dalam membutirkan dakwaannya turut menamakan beberapa individu yang menurutnya rapat dengan Amin.
'Saya tak ambil satu sen dari geran RM17.5 juta'
Antara dakwaannya termasuk geran kajian pendidikan berjumlah RM17 juta yang diberikan oleh Yayasan Hasanah kepada Leelany Ayob, seorang ahli akademik yang mengajar bidang penterjemahan di Universiti Sains Malaysia.
Aliff mempersoalkan jumlah yang menurutnya "terlalu besar" untuk mendanai kajian yang bukan tergolong di bawah sains dan teknologi, sambil berkata geran paling besar sebelum ini adalah sebanyak RM13 juta, yang diberikan kepada seorang profesor ulung di Universiti Malaya untuk kajian sains dan teknologi.
Leelany mengesahkan menerima geran tersebut, bagaimanapun berkata "tidak satu sen pun daripada geran berjuta itu masuk ke poket saya".
"Walaupun mendapat geran RM17.5 juta untuk saya pimpin, saya hidup sederhana, saya sendiri hanya memiliki Axia dan tinggal di rumah teres yang kecil lagi selesa. Saya tidak mampu untuk memiliki impian hidup mewah kerana saya mempunyai anak yang masih belajar dan banyak perkara yang memerlukan perhatian kewangan saya," katanya.
Menurut Leelany, geran itu diberikan bagi melakukan kajian untuk membantu mengurangkan keciciran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Projek jutaan ringgit tersebut ialah projek pembelajaran digital yang membantu anak bangsa kita sendiri yang tercicir yang kita usahakan untuk tidak gagal dalam SPM. Sebab kalau gagal, masa hadapan mereka berkemungkinan besar sukar untuk dapat dipertingkatkan. Kami hendak membantu mengurangkan kegagalan dalam SPM," katanya, sambil menambah pasukannya dipilih kerana mempunyai "track record yang cemerlang dalam pelbagai projek komuniti".

Aliff sebelum ini membuat beberapa pendedahan membabitkan pemimpin PKR, termasuk pada 2022 mengenai syarikat Invoke yang dipimpin Rafizi Ramli.
Dua bulan lalu, Aliff melakukan siasatan terhadap beberapa syarikat yang dinamakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk memecahkan monopoli Puspakom, syarikat yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Aliff mempersoalkan pelantikan tiga syarikat itu dan memberi amaran monopoli Puspakom akan digantikan oleh oligopoli yang diwarnai kronisme dan syarikat ala "Alibaba".
Beliau turut menyifatkan syarikat-syarikat itu tidak berpengalaman dalam pemeriksaan kenderaan, iaitu sesuatu yang melanggar garis panduan dikeluarkan kementerian Loke sendiri pada April 2024.
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment