NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa arah tuju untuk mangsa tragedi Putra Heights?




SHAH ALAM
: Tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya terus menjadi igauan ngeri bagi penduduk terlibat apabila ramai masih menanti bantuan menyeluruh bagi membina semula kehidupan mereka yang terjejas.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata insiden berlaku itu bukan sekadar satu kejadian biasa, tetapi sebuah peristiwa besar yang merubah nasib ramai pihak dalam sekelip mata.

“Letupan menerbangkan pasir-pasir berapi yang menyala,” ujar salah seorang mangsa yang menggambarkan betapa dahsyatnya kejadian itu.

Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, sebahagian mangsa masih menerima rawatan di hospital manakala lainnya masih berlindung di pusat pemindahan sementara tanpa keselesaan dan serba kekurangan.

“Ada juga yang tertanya-tanya sampai bila mereka akan berada di sana dan ke mana arah tuju selepas ini, malah ada yang gusar adakah tempat itu benar-benar selamat untuk didiami semula.

“Sebagai anak Selangor kita wajar bertanya, adakah bantuan sebanyak RM10,000 (RM5,000 daripada PETRONAS dan RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan) atau hanya RM5,000 (RM2,500 masing-masing) benar-benar mencukupi?

“Untuk (mereka para mangsa itu) memulakan semula kehidupan, terutama dalam sebuah negeri maju yang mempunyai rizab kewangan yang kukuh?

“Walau bagaimanapun, kita tetap bersyukur. Alhamdulillah, tiada nyawa yang terkorban dalam tragedi ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Beliau berkata, peruntukan di bawah Pejabat Menteri Besar untuk 2025 berjumlah RM234 juta adalah paling tinggi pernah diumumkan, seharusnya dimanfaatkan bagi membantu mangsa yang masih menanggung tekanan dan kesukaran.

“Oleh itu, saya menyarankan agar kerajaan negeri menggunakan kekuatan kewangan ini untuk segera membantu mangsa-mangsa yang sedang menanggung kesakitan, tekanan dan kesusahan.

“Sekurang-kurangnya, beban yang mereka tanggung ketika ini dapat diringankan, sementara menunggu keputusan siasatan dan pampasan rasmi yang entah bila akan diterima.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat bagi membahaskan isu tersebut dan memutuskan peruntukan yang sewajarnya.

“Ia adalah demi membela nasib rakyat yang terkesan. Mangsa-mangsa ini tidak harus terus menunggu tanpa kepastian,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2025








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo