SHAH ALAM - Parti Sosiais Malaysia (PSM) akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan diadakan pada 26 April depan.
Timbalan Pengerusinya, S Arutchelvan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa parti yang bersidang pada 21 Mac lalu selepas mengambil kira permohonan PSM Perak.
"Meletakkan calon alternatif ketiga dalam pertarungan antara dua gabungan gergasi sememangnya satu keputusan yang sukar kerana sistem pengundian 'first past the post' akan memberi kelebihan kepada dua parti utama yang bertanding.
"Mengambil kira kekangan ini, PSM telah membuat keputusan berani untuk bertanding berdasarkan lima faktor yang diambil kira antaranya DUN berkenaan merupakan kawasan yang pernah ditandingi parti dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dan merupakan kawasan yang parti telah melakukan kerja-kerja akar umbi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebagai rekod, PSM pernah mempertaruhkan calon Bawani KS bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning namun tewas selepas hanya memperoleh 586 undi berbanding penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mendapat 9,088 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Dalam pada itu Arutchelvan menjelaskan, penglibatan PSM dalam PRK berkenaan penting untuk membawa naratif kelas dan bukan naratif kaum dalam minda rakyat.
Menurutnya, parti itu tentunya akan mengetengahkan isu-isu rakyat sebenar yang jauh lebih penting seperti isu kos hidup, perkhidmatan kesihatan, pekerja dan petani, alam sekitar, masalah masyarakat orang asli serta rakyat.
"DUN Perak memerlukan suara dan jurucakap baharu untuk mengetengahkan isu-isu serius yang melanda negeri ini antaranya pemusnahan hutan, pengurusan banjir, dasar perumahan dan hak sektor masyarakat terpinggir dalam naratif perdebatan dalam DUN.
"PSM akan mengumumkan calon pada 8 April depan ketika melancarkan bilik gerakan utama untuk PRK Ayer Kuning selain akan mendapatkan pandangan dan sokongan daripada parti-parti alternatif yang beraspirasi sama," ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment