NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pinda Perlembagaan syaratkan PM mesti seorang Islam




KUALA LUMPUR
: Mohd Syahir Che Sulaiman berpandangan bahawa cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun adalah perkara yang terbuka untuk dibincangkan.

Ahli Parlimen Bachok itu bagaimanapun menegaskan, lebih penting dibincangkan juga adalah untuk memperuntukkan ketetapan di dalam Perlembagaan bahawa syarat dilantik ke jawatan Perdana Menteri mestilah seorang yang beragama Islam.

Menurut Penolong Setiausaha Agung PAS itu, buat masa ini, tiada peruntukan yang mewajibkan syarat ketetapan sedemikian di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ketetapan tersebut perlu wujud agar ianya selari dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus Perdana Menteri memahami dan mentadbir mengikut ajaran Islam.

Syahir turut menyangkal salah faham yang cuba dibawa oleh beberapa pimpinan PH dan DAP terhadap reaksi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar kepada cadangan tersebut.

Jelas beliau, Afnan yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) pada reaksi tersebut sebenarnya cuba menunjukkan sikap ‘Abang Besar’ DAP dalam menentukan dasar dan pendirian kerajaan hari ini.

“Ketua Pemuda (Afnan) sedang memberi mesej mengenai dominasi DAP ke atas Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Apa sahaja DAP cadang, PM terus setuju. Jadi, ini sebenarnya isu dan lebih besar dari cadangan (pindaan Perlembagan) itu.

“Adapun mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan tersebut, ia wajar dibawa kepada perbincangan lebih luas. Bukan sahaja bincang mengenai tempoh, tetapi sudah masanya juga untuk menetapkan syarat kelayakan seorang Perdana Menteri itu.

“Mestilah dilantik seorang yang beragama Islam. Ini atas kewajaran dan atas keperluan bagi mempertahankan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, sebagaimana termaktub dalam peruntukan Perlembagaan,” ujar beliau.

Setiausaha Politik Presiden PAS itu turut menjelaskan bahawa keperluan ditetapkan syarat tersebut memandangkan lontaran mengenai lantikan ke jawatan tersebut pernah dihasratkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang untuk melihat Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bukan-Melayu.

Katanya, Kit Siang mempertahankan kenyataan dibuat di Manchester, United Kingdom pada 29 November 2023 dalam program Impian Malaysia untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan bukan-Melayu itu sebagai tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun ujar Syahir, kenyataan tersebut menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan laporan polis dibuat ke atas tokoh politik itu, sekali gus menuntut ketidakpuasan hati atau perdebatan kepada perkara itu diperjelaskan.

Oleh itu kemuka beliau, bagi mengelakkan perdebatan, ketidakpuasan hati dan polemik berterusan, serta pentingnya satu status atau kedudukan yang terjamin, maka pindaan dengan menetapkan syarat tersebut mestilah diadakan secara muktamad di dalam Perlembagaan.

Bahawa tegasnya, Perdana Menteri yang dilantik mestilah seorang beragama Islam, selari dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan agar ia dapat mempertahankan peruntukan tersebut. – HARAKAHDAILY 17/3/2025







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo