BANGI, 2 MAC — Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan pelajar sekolah vernakular menguasai bahasa Melayu.
Timbalan Pengarahnya, Dr Anuar Ahmad berkata KPM perlu mengakui kegagalan mereka jika pelajar vernakular masih gagal menguasai bahasa Melayu.
“KPM mestilah bertegas untuk memastikan semua anak-anak di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menguasai bahasa kebangsaan sebaiknya.
“Jika anak-anak di SJK Cina dan Tamil gagal kuasai bahasa kebangsaan, KPM mestilah mengambil tanggungjawab dan mengakui kegagalan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas kegelisahan pihak tertentu terhadap sekolah vernakular.
Katanya, sekolah vernakular bukanlah isu baharu dan ia sering menjadi modal ahli politik tertentu yang gagal menyelesaikan kemelut itu sejak puluhan tahun dahulu.
“Pada pengundi yang matang, mereka tahu isu sekolah vernakular ini isu bermusim. Sejak merdeka lagi begitulah sifatnya. Sengaja ditimbulkan bila ada ahli politik yang mahu popular.
“Kemudian isu ini akan senyap kembali. Sudah lama saya kaji. Tidak berubah pun sejak dahulu. Nasihatkan saya, jika benar ada ahli politik yang mahu perjuangkan isu pendidikan.
“Cuba tanya diri anda sendiri, selepas lebih 70 tahun, sejak tahun 1950 isu sekolah vernakular ‘dijaja’ oleh ahli politik, adakah pendidikan anak-anak kita semakin baik?” soalnya.
Sehubungan itu, Anuar menggesa ahli politik yang terlibat, memperjuangkan sekolah kebangsaan agar ia menjadi pilihan utama negara.
Katanya, ahli politik seharusnya membangkitkan isu kemudahan di sekolah kebangsaan dan meningkatkan kualiti guru dari masa ke semasa.
“Mengapa tidak anda sebagai ahli politik yang progresif berjuang habis-habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya?
“Perjuangkan kualiti sekolah kebangsaan sehingga akhirnya sekolah kebangsaan menjadi rebutan daripada ibu bapa pelbagai kaum.
“Fokuskan usaha anda untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya kemudahan sekolah kebangsaan setaraf sekolah antarabangsa,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment