NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN pertaruh calon Pas di PRK Ayer Kuning



KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia kerana Pas menyasarkan kerusi DUN berkenaan sebelum ini.

Kata Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, PN memutuskan untuk mengekalkan parti sama bertanding di kawasan terbabit.

“Walaupun kita kalah sebelum ini, kita tidak akan buat sebarang perubahan. Biar kekal parti sama (untuk mewakili PN). Kami akan berikan sokongan penuh,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Untuk rekod, Pas sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 namun semuanya berakhir dengan kekalahan.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada Sabtu lalu.

Ishsam, 59, yang juga Ketua UMNO Tapah meninggal dunia selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilapor akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac ini bagi penentuan tarikh PRK DUN Ayer Kuning.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan, PN berpendirian tiada keperluan untuk penubuhan jawatankuasa yang membincangkan peruntukan buat ahli Parlimen pembangkang seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Rabu lalu.

Bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, ketika menerajui pentadbiran negara, beliau memberikan peruntukan kepada semua ahli Parlimen.

“Kita ada maruah, kita ada pendirian, peruntukan itu untuk rakyat bukan kegunaan peribadi. Persoalan sekarang sama ada mereka ikhlas ke tak. Kalau mereka tak nak beri (peruntukan), tak apa. Lebih dua tahun berlalu, terpulang kepada Perdana Menteri.

“Beliau minta jumpa Timbalan Perdana Menteri (untuk bincang peruntukan), tapi masa (zaman) saya (dahulu), mereka (ahli Parlimen) jumpa Perdana Menteri terus. Kalau nak bagi peruntukan, buat saja. Tak perlu tubuh jawatankuasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, analisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) yang menemui kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import daripada 5,000 sampel bercampur beras putih tempatan (BPT) membuktikan kebenaran dakwaannya di Parlimen sebelum ini.

“Kita semua ditipu, ini jenayah berat. Saya dimaklumkan terlebih dahulu, sebab itu saya bangkitkan di Parlimen. Gunakan data yang disediakan Mardi dan siasat siapa terbabit," desak beliau.


Sumber | Sinar Harian












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo