SHAH ALAM – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di negara ini kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bekerjasama erat dengan syarikat tempatan untuk memastikan tahap pengeluaran harian berada pada paras stabil dan memuaskan.
Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari ladang hingga ke pengguna akhir bagi menjamin kestabilan bekalan.
"Langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara.
"Kerajaan Malaysia melalui KPKM kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Mohamad Sabu dilaporkan mendakwa terdapat kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan menyeludup bekalan telur tempatan ke Amerika Syarikat (AS) susulan kenaikan harga telur di negara tersebut akibat kekurangan bekalan.
Menurutnya, kemungkinan itu tidak dapat ditolak memandangkan AS sebelum ini pernah meminta bantuan Malaysia untuk mengeksport telur ayam ke negara berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak membuat spekulasi tidak berasas dan merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi kementerian.
"KPKM akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin," ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment