NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Watak superhero Zionis dalam filem Captain America cetuskan kempen boikot



Kehadiran sebuah watak adiwira Zionis dalam filem terbaru "Captain America" terbitan Marvel, yang dimainkan seorang pelakon yang secara sukarela pernah berkhidmat untuk tentera Israel yang kini berdepan tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, telah mencetuskan gesaan dari penyokong Palestin untuk memboikot filem tersebut.

"Captain America: Brave New World", yang mula ditayangkan minggu ini di pawagam Malaysia, menampilkan pelakon Israel Shira Haas sebagai Ruth Bat-Seraph, watak yang digambarkan dalam komik asal sebagai agen Mossad yang memakai panggilan Sabra.

Susulan bantahan penyokong Palestin terhadap watak komik itu pada 2022, identiti Sabra dalam versi filem diubah kepada seorang agen Amerika, di mana penerbit menyifatkannya sebagai "imej baru yang dicipta untuk disesuaikan dengan tayangan di skrin dan penonton hari ini".

Gelaran Sabra, iaitu nama sejenis pokok kaktus padang pasir, diberikan kepada orang Yahudi yang lagir dalam wilayah yang kini dikenali sebagai Israel.

Watak kontroversi itu muncul dalam komik superhero Marvel seawal tahun 1981, ketika ketegangan memuncak di Timur Tengah, dan setahun sebelum pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatilla yang menyaksikan ribuan rakyat Palestin dan Lubnan dibunuh kumpulan pengganas yang disokong regim Israel.

Bagaimanapun, tindakan mengubah watak Sabra menjadi agen AS dalam filem terbaru Captain America gagal meredakan bantahan.

Pada 11 Februari, penyokong pro-Palestin berkumpul di luar acara tayangan perdana filem tersebut di Los Angeles untuk menggesa filem itu diboikot kerana menyertakan Sabra serta Shira Haas.

Mereka membawa sepanduk "keluarkan watak Sabra" sambil melaungkan slogan menuduh pengedar filem Disney menyokong genosid di Palestin.

Bantahan terhadap filem itu ditambah lagi dengan pendirian Haas yang pro-Zionis: beliau pernah menyertai pasukan tentera Israel walaupun tidak diwajibkan berbuat demikian atas masalah kesihatan, iaitu kanser buah pinggang yang menyebabkan tumbesaran terbantut.

Pengkritik turut menyelar sikap hipokrit industri Hollywood dalam isu konflik Palestin, di mana pelakon kelahiran Palestin-Mesir May Calamawy pernah dihukum kerana sokongan lantangnya membela rakyat Palestin.

Hantaran media sosial Calamawy menyebabkan peranan utama beliau dalam filem Gladiator 2 dicantas secara drastik, dan akhirnya pelakon itu hanya membuat penampilan tanpa dialog dan ringkas.

Awal tahun lalu, pelakon Melissa Barrera dipecat daripada membintangi filem Scream 7 selepas menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin dan mengutuk serangan Israel ke atas Gaza.

MalaysiaNow sedang cuba menghubungi Lembaga Penapisan Filem untuk mendapatkan respon sama ada kontroversi menyelubungi filem Captain America akan memberi kesan kepada tayangannya di pawagam tempatan.

Sementara itu, cawangan tempatan gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) yang menjalankan kempen global memulau mana-mana syarikat, jenama dan institusi akademik yang dikaitkan dengan rejim Israel, turut menyokong gesaan memboikot filem tersebut.

"Sebenarnya pada pendapat saya kerajaan Malaysia sepatutnya tidak membenarkan filem ini ditayangkan di panggung wayang di negara kita selaras dengan dasar kerajaan yang menentang rejim Zionis Israel kerana jenayah genosid dan apartheidnya terhadap warga Palestin," Presiden BDS Malaysia, Nazari Ismail, memberitahu MalaysiaNow.

Pada 1994, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mempertahankan langkah kerajaan mengharamkan "Schindler's List" oleh Steven Spielberg, menyifatkan filem itu propaganda Yahudi.

Timbalan perdana menteri ketika itu Anwar Ibrahim, bagaimanappun dilaporkan berkata larangan itu akan dikaji semula, dan seterusnya mengumumkan filem itu akan dibenarkan tayangannya selepas menjalani proses semakan biasa untuk filem luar negara.


Sumber | MalaysiaNow 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo