NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sokong Hukuman Sebat: Peritnya Malu Lebih Daripada Sakit, Kata Pesalah Khalwat

Pegawai Penjara membawa Mohd Affendi untuk menjalani proses hukuman sebatan di khalayak umum selepas melakukan kesalahan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu. - Foto NSTP

MARANG, 6 Februari – Seorang pesalah khalwat yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai pada penghujung Disember tahun lalu menyokong pelaksanaan hukuman tersebut terhadap pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di Terengganu.

Buruh binaan berusia 43 tahun itu menyatakan bahawa hukuman tersebut memberikan kesan mendalam kepadanya.

"Memang betul-betul mendatangkan keinsafan, saya tidak mahu buat lagi biarlah ini kali terakhir. Sewaktu kena, rasa macam tiada perasaan, tidak tahu hendak kata apa, sakit campur malu ada belaka.

"Sakit itu tidak mengapa boleh hadap lagi. Sepuluh boleh hadap lagi 20 boleh hadap lagi, tetapi malu itu.

"(Tetapi) cara dia itu moleklah, saya sokong. Ia boleh beri pengajaran kepada orang lain sebab saya tahu betapa peritnya malu itu, datangnya keinsafan, bukan peritnya sakit. Kena (sebat) memang sakit, kalau kita 'piat' (rotan) lembu pun lembu lari, tetapi jika dibandingkan dengan sebatan dadah (sivil) yang itu lebih teruk lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas dibebaskan bersama 47 banduan lain menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Marang, semalam.

Mengimbas kembali ketika hukuman diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu, bapa kepada lima orang anak itu menyatakan, dia reda dan cuma memohon hukuman dilaksanakan segera bagi membuktikan keinsafannya.

"Cuma, saya tidak fikir, sebab tidak pernah kena (sebatan di khalayak ramai), tanya orang pun tidak tahu. Biasalah dipermain orang itu 'kena piat tengah padang bolalah' dan sebagainya, semua itu saya tidak tahu.

"Selepas kena (dilaksanakan) itu saya reda lah. Sangkaan dan khabar angin jauh beza (dengan pelaksanaannya)," ujarnya.

Menerima pembebasan secara PBSL setelah kira-kira tiga bulan ditahan, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah itu berhasrat kembali bekerja semula.

"Insya-Allah tauke percaya pada kita. Semasa kes pertama dan kedua pun tauke bantu sebab dia tahu kita tidak main benda lain, barang dia pun kita tidak khianat, kerja kita buat comel.

"Tidak pandai mana nak beri nasihat, sebab kita rasa macam nak beri nasihat kita ini tidak berapa molek lagi, tidak betul lagi.

"Kepada budak-budak muda sekarang ini, sudahlah buat-buat berkhalwat, sakit tidak balas (setara) mana, tetapi malunya lebih. Sedap sekejap saja, sakit sekejap saja tetapi malu lama. Habis malu anak keluarga kita, tak payah buatlah," nasihatnya.

Sebelum ini, pada 27 Disember 2024, seorang lelaki Malaysia telah disebat di sebuah masjid di negeri Terengganu kerana kesalahan khalwat. Mohd Affendi Awang, 42, seorang pekerja binaan dan bapa kepada lima anak, telah disabitkan kesalahan khalwat dan dijatuhi hukuman enam sebatan serta denda selepas mengaku bersalah pada bulan sebelumnya. Ini merupakan kali ketiga beliau disabitkan dengan kesalahan tersebut. Hukuman sebat itu dilaksanakan di hadapan 90 orang selepas solat Jumaat, dengan kehadiran polis yang ramai. Negeri Terengganu, yang ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengamalkan interpretasi undang-undang Islam yang lebih ketat. Pada tahun 2018, negeri ini juga melaksanakan hukuman sebat terhadap dua wanita yang disabitkan kesalahan cuba melakukan hubungan sejenis, yang menimbulkan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Sumber asal | TRDI &  Reuters


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo