- Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) tetap berterima kasih kepada kerajaan atas penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 satu tan metrik walaupun berdukacita ekoran kenaikan itu tidak seperti diharapkan.
- Harga masih tidak mencukupi untuk tampung kenaikan kos akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan harga benih pada tahun lalu.
- Pengumuman itu juga tidak memenuhi aspirasi dan harapan mereka untuk penetapan harga lantai padi pada kadar RM1800 satu tan.
- “Kami ingin menegaskan bahawa tuntutan kami agar harga lantai padi dinaikkan kepada RM1800 adalah tuntutan yang munasabah dan berasas, mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta kos diesel dan benih yang meningkat, serta pelbagai cabaran lain dihadapi pesawah dalam usaha memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara.
- “Sehubungan itu, kami menyeru kepada YB Menteri Pertanian untuk meneliti semula tuntutan kami dan mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi membantu pesawah.
- PeSAWAH mohon tambah insentif harga padi RM300 dan turunkan harga kawalan benih padi sah kepada RM35.
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) tetap berterima kasih kepada kerajaan atas penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik walaupun berdukacita ekoran kenaikan itu tidak seperti diharapkan.
PeSAWAH berkata ini kerana harga RM1,500 satu tan yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu masih tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan harga benih pada tahun lalu.
Katanya, pengumuman itu juga tidak memenuhi aspirasi dan harapan mereka, iaitu penetapan harga lantai padi pada kadar RM1800 per tan.
“Kami ingin menegaskan bahawa tuntutan kami agar harga lantai padi dinaikkan kepada RM1800 adalah tuntutan yang munasabah dan berasas, mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta kos diesel dan benih yang meningkat, serta pelbagai cabaran lain dihadapi pesawah dalam usaha memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara.
“Sehubungan itu, kami menyeru kepada YB Menteri Pertanian untuk meneliti semula tuntutan kami dan mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi membantu pesawah.
“Kami mencadangkan; insentif harga padi sebanyak RM300 diberikan kepada pesawah, sebagai tambahan kepada harga lantai padi RM1500 yang diumumkan dan penurunan harga kawalan benih padi sah daripada RM58 ketika ini kepada RM35 iaitu harga asal benih padi sebelum ini memandangkan harga belian padi telah mengalami penurunan berbanding ketika harga benih dinaikkan pada Mac 2024 lalu.
“Alasan harga benih dinaikkan pada waktu tersebut adalah kerana harga belian semasa padi (bukan harga lantai) yang ditawarkan kilang adalah RM1700,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook hari ini.
Semalam, Mohamad Sabu pada sesi penerangan menteri mengenai situasi semasa industri padi dan beras negara di Dewan Rakyat berkata harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik, berkuat kuasa Ahad ini pada masa sama harga beras putih tempatan dikekalkan RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Beliau ketika sidang media di Parlimen dilaporkanberkata pengumuman penyelarasan harga lantai belian padi itu dilakukan selepas mengambil kira kepentingan semua pihak melibatkan pesawah, pengilang dan pengguna.
“Kita tidak boleh naikkan terus hingga RM1,800 (yang diminta pesawah), macam mana pula dengan harga beras, sekarang pun kerajaan terpaksa campur tangan (tampung subsidi), sebab itu keputusan ini diambil imbangi kepentingan semua.
“Bagaimanapun, ini untuk tempoh enam bulan dari sekarang, ada proses lagi untuk kita lihat bagi enam bulan yang seterusya. Kita terbuka terima pandangan dan sedia bertemu mana-mana pihak berkaitan perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, PeSAWAH berharap kerajaan dapat mendengar dan memahami rintihan mereka yang disifatkan adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara.
PeSAWAH turut membangkitkan persoalan, jika mereka yang tergolong sebagai tulang belakang itu tidak diberikan sokongan sewajarnya, bagaimana mungkin mereka dapat meneruskan menghasilkan padi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
“Para pemimpin dan rakyat Malaysia perlu faham, subsidi yang bernilai berbilion ringgit itu hanya 20% sahaja yang masuk ke poket petani iaitu dalam bentuk insentif harga padi.
“Subsidi-subsidi lain yang disebut oleh YB Menteri dalam sesi Parlimen sebentar tadi (semalam) dapat kepada pihak vendor yang membekalkan benih, input pertanian dan servis jentera.
“Pokok kepada isu subsidi ini sebenarnya adalah harga beras yang sudah 17 tahun tak dinilai semula, kerana itulah subsidi bertambah setiap tahun untuk menyerap harga kawalan beras tersebut. Subsidi padi bukan ehsan kerajaan tapi kewajipan kerajaan kerana kerajaan mengawal harga beras,” katanya. — The Merdeka Times
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment