NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Garis panduan: PM akan bawa hasil mesyuarat Kabinet kepada pengerusi MKI

PM Anwar Ibrahim berpendapat garis panduan kehadiran orang Islam dalam majlis di rumah ibadat bukan Islam tidak perlu kerana orang Islam tahu batasannya.



GOMBAK
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membawa hasil mesyuarat Jemaah Menteri berhubung garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam kepada pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

MKI dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Ini telah diputuskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri dan saya akan persembahkan kepada Sultan Nazrin,” katanya kepada pemberita di majlis komuniti India di dewan sebuah kuil di Batu Caves.

Ditanya pendapat beliau berhubung garis panduan tersebut, Anwar menjawab: “Saya berpendapat tidak perlu kerana orang Islam tahu garis dia.”

Tambahnya, wakil rakyat bukan beragama Islam turut diundang ke majlis anjuran orang Islam, mengambil contoh Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Macam saya datang hari ini, saya bukan masuk ke upacara agama. Gobind sering ke masjid di kawasan dia tapi tidak ke upacara agama. Jadi kita biasa. Jangan persulitkan.

“Jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat. Ini saya nak tegaskan keputusan muktamad Jemaah Menteri pagi tadi,” katanya.

Hari ini, Jemaah Menteri dalam mesyuarat membincangkan garis panduan tersebut, mengingatkan setiap dasar yang dirangka perlu ambil kira aspek perpaduan nasional, serta mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Jemaah Menteri juga bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.

Jemaah Menteri membincangkan cadangan garis panduan kontroversi itu hari ini, susulan persoalan dan teguran daripada pelbagai pihak.

Cadangan garis panduan itu antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti, dan akan diteliti secara komprehensif oleh mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI.

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI seterusnya akan diangkat kepada pertimbangan mesyuarat MKI.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo