Meskipun UMNO telah membuat keputusan membatalkan himpunan solidariti terhadap Najib Razak yang dijadual Isnin depan, tetapi PAS tetap akan meneruskan rancangan mereka berhimpun sebagai tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu di Istana Kehakiman di Putrajaya.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata mereka berhimpun semata-mata mahu mempertahankan kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dianggap selama ini telah dimanipulasi.
Isu titah tambahan (adendum) itu juga, katanya, menampakkan berlaku sesuatu yang tidak telus, dan pada masa sama PAS mahu menyokong semua usaha sah Najib untuk “mendapatkan keadilan” mengikut undang-undang.
“Dengan itu PAS tiada hasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran secara aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menambah, PAS menganggap kehadiran orang ramai ke himpunan solidariti berkenaan pada Isnin nanti sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Agong yang dikeluarkan Istana Negara semalam.
Dengan pendirian ini, setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada PAS atas keputusan terbaru yang mereka ambil ini.
Ini baru namanya parti perjuangan, sekali mahu melangkah akan terus melangkah.
Yang penting sekarang, oleh kerana UMNO sudah menarik diri, PAS perlu memastikan ahli-ahli mereka benar-benar ramai bersolidariti untuk Najib nanti.
Buktikan kepada UMNO, mereka kini adalah pembela yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib Najib.
Lagi pula, kalau dikira daripada jumlah kerusi Parlimen, PAS memiliki lebih banyak jumlahnya berbanding UMNO (Pas 43, UMNO 26 saja).
Dengan itu, penyokong-penyokong Najib yang setakat ini difahamkan tidak berhasrat membatalkan himpunan pada Isnin nanti, kini tidak lagi sendirian dalam perjuangan mereka.
Tanpa UMNO, tidak bererti penyokong-penyokong Najib tidak boleh terus berhimpun dan bersolidariti.
Berhimpun dan bersolidariti bersama PAS, silap-silap kehadirannya lebih ramai lagi.
Malah, diyakini juga dengan keputusan UMNO yang mengecewekan penyokong-penyokong Najib yang telah siap sedia untuk berhimpun itu, mereka sekarang tambah bersemangat lagi untuk beramai-ramai ke Putrajaya.
Apa lagi jika deposit untuk bas-bas daripada seluruh negara sudah pun dibayar, membatalkan begitu juga bermakna melakukan pembaziran secara sia-sia.
Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada PAS – kali ini pastikan Putrajaya benar-benar hijau pada Isnin nanti. – ShahbudinHusin 04Januari2024.
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment