Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang turut bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, Arifin Arif, berkata kenyataan Bungsu @ Aziz hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.
Tegasnya, Sabah menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman sedia ada terhadap kesalahan takzir, iaitu hukuman dijatuhkan atas kesalahan tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.
“Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti dilaksanakan di Terengganu, memandangkan Sabah merupakan negeri unik terdiri daripada berbilang kaum dan agama, serta keharmonian agama, toleransi, dan persefahaman menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni.
“Kerajaan negeri berharap isu ini tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak, sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, FMT melaporkan seorang pemimpin Bersatu Sabah bimbang kesan buruk kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN jika gesaan memperkenalkan hukuman sebat secara terbuka terus disuarakan termasuk di negeri itu.
Setiausahanya Yunus Nurdin, berkata hukuman itu tidak sesuai dilaksanakan berdasarkan pecahan populasi dan kepelbagaian etniknya termasuk perbezaan budaya, berbanding di Semenanjung.
Kenyataan itu menyusul selepas Bungsu menyokong pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pesalah jenayah syariah, termasuk di negeri itu.
Beliau mengulas gesaan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin akhir Disember lalu supaya semua negeri mengikut jejak Terengganu, memperkenalkan hukuman sebat secara terbuka bagi kesalahan syariah tertentu.
Hashim berkata demikian susulan seorang pesalah khalwat berulang, Affendi Awang, 42, disebat enam kali, di depan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, 27 Dis lalu.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment