Sejarah membuktikan hampir semua Presiden UMNO akan berakhir keluar dari UMNO samada membentuk parti baru sebagaimana Dato Onn Jaafar, Tun Mahathir atau menyertai parti lain seperti Tunku Abdul Rahman.
Kini nasib DS Najib kelihatan tidak jauh bezanya dengan kepimpinan UMNO sebelumnya. Ketika beliau ditampuk di kerusi Presiden dan menjadi Perdana Menteri beliau disanjung dan dijulang tinggi. Namun bilamana jawatannya hilang beliau tidak lagi dipeduli, kata-katanya tidak lagi didengari bahkan legasi beliau cuba dihilangkan.
Beginilah nasib sebahagian besar pemimpin UMNO yang sepatutnya menjadi bahan renungan semua. Mengenali sahabat setia bukanlah sewaktu kita dalam keadaan senang, berkuasa serta mempunyai harta yang banyak, namun ia diukur ketika mana kita berada dalam keadaan susah dan tidak mempunyai apa-apa. Ketika inilah kita mengetahui kawan yang sejati.
Melihat kepada keputusan Presiden UMNO dan kepimpinannya yang melarang penyertaan bagi ahlinya menyertai solidariti bersama DS Najib yang sedang berjuang mendapatkan hak dan keadilan dalam isu adendum yang akan didengari esok, tidak mustahil nasib DS Najib dijangka akan senasib atau lebih malang berbanding pimpinan UMNO sebelumnya.
Adakah pimpinan UMNO sekarang sudah melupakan jasa DS Najib kepada mereka. Mereka pasti tahu dan sedar betapa DS Najib banyak berjasa kepada mereka. Atau adakah pemimpin UMNO sekarang menepati ungkapan Tun M suatu ketika dahulu, iaitu menjadi “Melayu mudah lupa”?
Meneliti sejarah politik UMNO, maka tidak mustahil DS Najib memilih wadah lain bagi meneruskan kerjaya politiknya. Paling tidak memohon pengampunan penuh sebagaimana yang pernah dilakukan oleh insan bernama Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika ini. Segalanya tidak mustahil, kerana sudah ada duluan kes.
Di pihak PAS, himpunan ini adalah satu solidariti kepada DS Najib bagi mendapatkan haknya sebagaimana yang didakwa berkenaan titah adendum. Malah lebih besar lagi, PAS melihat isu ini bukan sekadar isu berkenaan individu yang bernama DS Najib, tetapi PAS melihat ia berkenaan dengan tindakan tidak taat dan menghormati Institusi YDP Agung.
PAS melihat bahawa adalah sangat malang kepada negara ini jika ada pihak yang cuba memanipulasi tentang kewujudan adendum ini. Dimanakah integriti dan tatakelola baik yang sering dilaungkan? Jika ini boleh berlaku kepada orang yang pernah berjasa pada negara, apakah akan terjadi kepada kebanyakan rakyat?.
05 Januari 2025
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment