BANGI, Jumaat – Institusi masjid dan surau adalah imej dan identiti tonggak negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Justeru, beliau menyambut baik komitmen Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Katanya, tindakan tersebut adalah wajar dan tepat mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan selain kemajmukan masyarakat di Malaysia.
“Usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan Madani yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah.
“Usaha pengukuhan Islam ini telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak diseru untuk bersama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara.
Sebelum ini, montaj pelancaran TMN 2026 dikritik apabila tiada imej masjid dipaparkan dalam video berdurasi 41 saat itu namun kelihatan rumah ibadat agama lain.
Susulan itu, King Sing menyatakan bahawa paparan keunikan budaya termasuk masjid akan dimasukkan dalam video yang lebih terperinci.
Kemudian, King Sing memaklumkan bahawa video montaj itu akan dibuat semula.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment