Kisah Haman pada zaman Nabi Musa menggambarkan seseorang yang mempunyai kuasa besar dan dianggap sangat berpengaruh. Haman, yang disebut dalam Al-Quran sebagai seorang pembantu kanan Firaun, boleh disamakan dengan kedudukan seperti Perdana Menteri pada hari ini. Kuasa yang dimiliki Haman sangat besar, sehingga segala keputusan boleh ditentukan olehnya. Jika dia mengatakan sesuatu itu tiada, maka ia dianggap tiada, walaupun pada hakikatnya ada. Begitulah besar kuasa seseorang yang berada dalam posisi seperti Haman.
Allah SWT menggunakan istilah Al-Mala’ untuk merujuk kepada ketua-ketua kaum yang menentang dakwah Nabi Nuh. Menurut para ulama, istilah ini merujuk kepada golongan yang mempunyai kedudukan, jawatan, dan pengaruh dalam masyarakat, seperti pemimpin politik, pemilik kekayaan, atau pemegang kuasa. Golongan ini sering merasa tergugat dengan seruan para nabi kerana mereka takut kehilangan pengaruh dan kekayaan yang selama ini mereka monopoli.
Hal yang sama dapat kita lihat dalam kisah Nabi Musa dengan dua tokoh besar yang menjadi musuh utamanya, iaitu Firaun dan Qarun. Firaun, seorang raja zalim, menentang Nabi Musa kerana menganggap dirinya tuhan dan tidak mahu kuasanya dicabar. Manakala Qarun, seorang korporat besar pada zamannya, asalnya seorang yang alim dalam kitab Taurat dan merupakan pengikut Nabi Musa. Namun, Qarun terpedaya dengan harta kekayaan sehingga dia berubah menjadi seorang yang angkuh. Qarun menyombongkan diri dengan berkata bahawa semua kekayaannya adalah hasil daripada kepandaiannya sendiri, bukan kurniaan Allah. Kesombongan ini akhirnya membawa kepada kejatuhannya apabila Allah menenggelamkannya bersama hartanya ke dalam bumi. Qarun bukan sahaja menjadi musuh kepada Nabi Musa, tetapi juga sekutu kepada Firaun dalam usaha melawan kebenaran.
Dalam masyarakat kampung, pengaruh seseorang tidak semestinya datang daripada kekayaan atau jawatan tinggi, tetapi kerana kebolehan atau peranan mereka yang penting dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, tok mudin yang bertanggungjawab mengkhitankan anak-anak, tok guru silat yang mahir dalam seni mempertahankan diri, atau tok bidan yang membantu kaum wanita melahirkan anak.
Jika seseorang berbalah dengan tok bidan, mungkin dia sukar mendapatkan bantuan semasa bersalin. Jika bergaduh dengan tok mudin, mungkin anak-anak tidak dapat menjalani majlis khatan dengan sempurna. Jika berselisih dengan tukang gulai, mungkin kenduri kahwin tidak akan berjalan lancar. Keadaan ini mencerminkan bagaimana pengaruh dalam masyarakat dahulu tidak bergantung kepada kuasa rasmi, tetapi kepada peranan penting yang dimainkan oleh individu-individu ini dalam kehidupan komuniti.
Begitu juga, tok guru silat bukan sekadar pengajar seni mempertahankan diri, tetapi simbol kebijaksanaan dan keberanian. Tok bidan bukan sahaja seorang yang mahir dalam membantu kelahiran, tetapi juga menjadi tempat rujukan wanita kampung. Tok mudin pula bukan sekadar pelaksana adat khatan, tetapi tokoh penting dalam menjaga keharmonian sosial melalui pengaruhnya.
Apabila Nabi Nuh datang membawa ajaran tauhid, menyeru kaumnya untuk kembali menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala, seruan ini ditolak oleh golongan Al-Mala’, iaitu ketua-ketua kaum yang berpengaruh dalam masyarakat. Mereka berhujah dengan pelbagai alasan yang memperlekehkan Nabi Nuh.
Mereka mempertikaikan kerasulan Nabi Nuh semata-mata kerana baginda adalah manusia biasa, bukan malaikat. Mereka juga menolak seruan itu atas dasar ia berbeza dengan amalan tok nenek mereka. Mereka berkata, “Nabi Nuh sama macam kita, manusia biasa, bukan orang yang istimewa. Dia pun tiada harta. Apa yang dia sampaikan ini tidak masuk akal kerana bercanggah dengan adat dan kepercayaan nenek moyang kita.”
Hujah mereka ini menunjukkan betapa kuatnya pegangan mereka kepada adat dan amalan turun-temurun, walaupun amalan itu jelas bercanggah dengan ajaran Allah. Dalam Islam, tradisi atau amalan nenek moyang tidak boleh dijadikan asas mutlak untuk menilai kebenaran. Sebaliknya, setiap amalan itu perlu disaring dan dibandingkan dengan hukum syarak. Jika ia selaras dengan ajaran Islam, maka ia boleh diteruskan. Namun, jika bertentangan dengan akidah atau syariat, wajib meninggalkannya.
Tidak boleh seseorang berkata, “Ini amalan yang sudah lama diwarisi dari tok nenek kita, maka kita mesti teruskan.” Atau, “Ini memang cara orang tua-tua kita buat sejak dulu, takkan nak ubah?” Sebagai umat Islam, kita wajib meletakkan hukum Allah di atas segalanya. Kita perlu menilai adat dan tradisi berdasarkan syarak, bukan sentimen atau nostalgia semata-mata.
Dalam pengajian Islam, para ulama telah menetapkan satu kaedah penting yang disebut Al-‘Adatu Muhakkimatun, bermaksud adat kebiasaan boleh menjadi sumber hukum, tetapi hanya jika ia memenuhi syarat-syarat tertentu. Antaranya, adat itu tidak boleh bercanggah dengan nas-nas syarak, tidak melibatkan perkara haram, dan diterima secara meluas oleh masyarakat dalam kerangka yang dibenarkan Islam.
Contohnya, perbuatan bersalaman selepas solat. Sesetengah orang mungkin menganggapnya sebagai bid’ah kerana ia tidak dilakukan pada zaman Nabi, tetapi hakikatnya perbuatan itu tidak salah.
Salam adalah sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dalam hadis baginda bersabda, tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalaman, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah. Lebih daripada itu, orang yang memulakan ucapan salam mendapat pahala yang lebih besar, seperti yang disebutkan dalam hadis lain. Oleh itu, bersalaman, walaupun selepas solat, mempunyai asas dalam agama kerana ia menggalakkan silaturahim dan mendekatkan hati sesama Muslim.
Namun, penting untuk diingat bahawa adab bersalaman turut diajarkan oleh Islam yang menekankan supaya wajah sentiasa ceria dan penuh senyuman ketika bersalaman. Bersalaman dengan muka masam atau tanpa memandang wajah orang lain tidak mencerminkan ajaran Nabi, malah menghilangkan keberkatan salam itu sendiri.
Begitu juga dengan amalan membaca al-Quran secara berkumpulan di masjid. Amalan ini mungkin tidak dilakukan pada zaman Nabi secara khusus, tetapi ia bertepatan dengan perintah baginda agar umatnya membaca dan mempelajari al-Quran. Membaca al-Quran secara berkumpulan memberikan semangat dan motivasi, terutamanya bagi mereka yang mudah berasa malas atau terganggu apabila membaca sendirian di rumah. Ia juga boleh menjadi wasilah untuk menghidupkan suasana masjid dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan jemaah.
Namun, yang perlu dielakkan ialah menganggap amalan-amalan ini sebagai sesuatu yang wajib atau satu keperluan yang mesti dilakukan. Jika seseorang beriktikad bahawa bersalaman selepas solat atau membaca al-Quran beramai-ramai adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan, maka ia boleh jatuh ke dalam kategori bid’ah yang dilarang. Kaedahnya ialah selagi adat atau amalan itu tidak bercanggah dengan asas agama dan tidak dianggap wajib, ia dibenarkan dan malah digalakkan jika membawa kebaikan.
Hal yang sama berlaku pada amalan seperti membuat bubur As-Syura pada bulan Muharam atau menyambut Maulid Nabi. Tiada salahnya untuk membuat bubur As-Syura sebagai sebahagian daripada tradisi masyarakat, selagi ia dilakukan dengan niat untuk mengeratkan silaturahim atau sebagai tanda kesyukuran. Tetapi, jika ada yang beranggapan bahawa membuat bubur As-Syura adalah wajib dan jika tidak dilakukan, seolah-olah sesuatu kekurangan telah berlaku, maka ia menjadi bid’ah.
Demikian juga dengan sambutan Maulid Nabi. Ia bergantung kepada niat dan cara sambutan itu diadakan. Jika ia disambut untuk mengingati sirah Rasulullah dan menghidupkan sunnahnya, maka ia dibenarkan. Namun, jika disertai dengan kepercayaan yang melampaui batas atau amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak, maka ia harus diperbetulkan.
Oleh itu, setiap adat dan tradisi yang kita laksanakan harus dilihat daripada sudut niat dan pelaksanaannya. Jika ia membawa kebaikan, mempereratkan hubungan sesama manusia, dan mendekatkan diri kepada Allah, maka ia diterima sebagai sebahagian daripada keindahan Islam yang meraikan pelbagai budaya dan adat masyarakat.
Amalan dalam Islam sangat bergantung kepada niat seseorang. Walaupun sesuatu perbuatan itu zahirnya baik dan merupakan tuntutan agama, ia boleh menjadi sia-sia jika niatnya tidak ikhlas kerana Allah. Sebagai contoh, seseorang yang rajin bersolat, malah melakukan solat sunat, tetapi niatnya semata-mata untuk menjaga hati mertua yang kebetulan seorang Tok Imam.
Ingatlah, Allah hanya menerima ibadah yang dilakukan dengan niat ikhlas kepada-Nya. Sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, niat adalah asas kepada segala amalan, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment