NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPDN serbu kilang pembuat roti sandwic disyaki guna logo halal JAKIM




BANGI, Isnin – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya kerana disyaki menyalah guna logo halal pada 10 Januari lalu.

 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bermula jam 1 tengah hari.



 

Katanya, serbuan dibuat hasil aduan yang diterima oleh pihak JAKIM selain tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk roti sandwic yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

 

“Hasil maklumat awal, premis merupakan sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk sandwic serta menggunakan penandaan logo halal JAKIM yang disyaki tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM.

 

Katanya, logo halal yang diletakkan pada produk roti sandwic tersebut ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan telah menjual perniagannya kepada syarikat yang diserbu.

 

“Sijil pengesahan tersebut juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023.

 

“Hasil serbuan, pihak KPDN telah menyita pelbagai jenis roti sandwic, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan berkaitan,” ujarnya.

 

Menurut beliau, pihaknya membuka kertas siasatan dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a). Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

 

Jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh didenda melebihi RM200,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000.

 

Individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

“Selain daripada tindakan di bawah pensijilan halal, KPDN juga akan menghantar sampel sandwic tersebut ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwic tersebut.

 

“Berkaitan isu penutupan premis di sebuah universiti awam, ia adalah tindakan yang diambil oleh sendiri pihak berkenaan dan tidak melibatkan arahan daripada KPDN,” tambahnya.



Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo