NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Madani diminta ‘jujur’ tunai janji tertangguh berkait dana politik




BANGI, 2 Rejab – Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memperkukuhkan institusi demokrasi melalui pelbagai inisiatif termasuk undang-undang yang mengawal dana politik.

 

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhamad Fathi Yusof berkata, kerajaan harus mengambil langkah jujur dengan menunaikan janji yang tertangguh sekian lama untuk merealisasikan peraturan yang dapat mengawal perbelanjaan, pendapatan dan sumbangan yang melibatkan parti dan kempen politik.

 

Katanya, selama ini tiada ketelusan dalam pengurusan kewangan parti-parti politik sehingga mereka bebas menerima sumbangan dari siapa sahaja, termasuklah dari syarikat-syarikat yang mendapat projek kerajaan, atau dari dana asing.

 

“Jadi, tahun baru ini, kita mengharapkan kerajaan dan Parlimen dapat meluluskan Akta Dana Politik sekali gus dapat dikuatkuasakan secara berperingkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” katanya. 

 

Sementara itu dalam konteks Perlembagaan, beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengharapkan badan pemerintahan negara khususnya institusi beraja menyerlah sebagai tonggak kepada kesaksamaan, ketulusan dan integriti. 

 

“Kita mengharapkan hubungan yang erat antara rakyat dan pemerintah beraja bagi memastikan keutuhan negara yang dibina atas prinsip keadilan, kasih sayang dan keterbukaan.

 

“Institusi beraja di Malaysia adalah satu sistem pemerintahan yang unik kerana ia menggabungkan elemen monarki, musyawarah dan demokrasi serta membuka ruang kesimbangan dalam pemerintahan.

 

“Jadi kita sangat berharap sistem ini benar-benar tertegak sesuai dengan tujuannya – sumpah jawatan Yang Di-Pertuan Agong sebagaimana yang terungkap dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, yang antara lainnya menyebut tentang pemerintahan adil berteraskan undang-undang dan memelihara agama Islam,” katanya. 


Sumber | TV Pertiwi








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo