Liu Zhu, 69, dan anak perempuannya, Liu Xinxin, 36, berada dalam sebuah kenderaan di kawasan Pinang Peranakan Mansion ketika mereka dihempap pokok yang tumbang dari kawasan bersebelahan laluan masuk muzium itu pada 18 Sept tahun lalu.
Waris mangsa kini menuntut pampasan daripada pengendali dan pemilik Pinang Peranakan Mansion, pemilik hartanah tempat pokok itu berada, sebuah agensi pelancongan tempatan, serta pemandu yang diupah oleh agensi tersebut.
Keluarga mangsa yang berasal dari Sanhe di wilayah Hebei, China, mendakwa kelima-lima pihak tersebut gagal melaksanakan tanggungjawab dan keselamatan yang sepatutnya, yang boleh mengelakkan kejadian tragis itu daripada berlaku.
Pada sidang media di sini, peguam keluarga itu, Ng Kian Nam, berkata tragedi itu boleh dielakkan jika pihak-pihak terbabit mengambil langkah wajar untuk memastikan keselamatan awam, seperti menyelenggara pokok berkenaan.
Ng berkata keluarga itu juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Beliau mempersoalkan mengapa notis yang menandakan pokok tersebut sebagai bahaya hanya dikeluarkan dua hari selepas kejadian dan sama ada pihak majlis telah mengambil tindakan terhadap pemilik hartanah itu.
“Kami juga tertanya-tanya sama ada sebarang insurans liabiliti awam diambil untuk melindungi keselamatan awam dalam kawasan pentadbiran MBPP, terutama berkaitan pokok tumbang.
“Ini antara persoalan yang telah kami ajukan secara bertulis kepada datuk bandar MBPP. Bergantung kepada jawapan mereka, kami akan memutuskan sama ada akan menyaman pihak majlis,” katanya.
Sementara itu, isteri Zhu dan ibu Xinxin, Yang Xueli berkata dia menanggung kesedihan dan penderitaan sejak kehilangan suami dan anak perempuannya itu.
“Setiap malam, saya berbaring di atas katil memandang ruang kosong di sebelah di mana suami dulu berada. Kesunyian itu menyakitkan, dan kehilangannya terasa seperti pisau menikam nikam jiwa saya,” katanya menerusi panggilan Zoom di sidang media itu.
“Cucu saya pula memeluk mainannya menunggu ibunya pulang. Dia bertanya kepada saya mengapa ibunya belum pulang. Bagaimana, saya hendak menjelaskan kepada seorang anak kecil bahawa ibunya telah pergi untuk selama-lamanya akibat kecuaian seseorang?”
Wanita berusia 69 tahun itu juga mempersoalkan mengapa pihak berkuasa di Pulau Pinang tidak mengambil langkah untuk mencegah tragedi itu seperti menyelenggara pokok tersebut, memberikan amaran tentang cuaca, atau memastikan pengangkutan yang selamat.
“Jika mereka melaksanakan tanggungjawab mereka… suami dan anak perempuan saya mungkin masih hidup hari ini,” katanya.
Liu Yuhui, anak lelaki Zhu, berkata bapa dan kakaknya melancong ke Malaysia kerana percaya dengan keselamatan awam di negara ini.
Yuhui, 43, turut mendakwa agensi pelancongan tidak bertanggungjawab apabila mengupah pemandu yang tidak memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam dan mengabaikan amaran mengenai ribut yang bakal melanda di Pulau Pinang.
“Mereka seolah-olah menghantar keluarga saya ke dalam bahaya tanpa peduli nyawa mereka,” katanya dalam panggilan Zoom semasa sidang media yang sama.
FMT sedang cuba mendapatkan komen daripada pihak-pihak yang terlibat.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment