NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keagungan Tauhid: Keteguhan Nabi Nuh dan Rasulullah Menghadapi Ejekan Kaum


Al-Quran mengisahkan bagaimana kaum Nabi Nuh menuduh baginda dengan pelbagai tuduhan yang berat. Mereka mendakwa seruan dakwah Nabi Nuh hanyalah satu muslihat untuk kepentingan peribadi. Mereka menyangka baginda ingin meraih pengaruh, kekuasaan, atau kekayaan melalui dakwahnya. Kaum Nabi Nuh memandang baginda penuh dengan syak wasangka. Bagi mereka, seruan Nabi Nuh bukanlah kerana kebenaran, tetapi kerana agenda tersembunyi. Nabi Nuh terus-menerus bersabar, menyampaikan risalah Allah tanpa mempedulikan ejekan dan cercaan.

Begitu juga sewaktu Rasulullah SAW diutuskan sebagai nabi. Orang Quraisy memandang seruan baginda dengan penuh curiga. Mereka berkumpul untuk bermesyuarat, mencari jalan bagaimana untuk menghentikan dakwah Rasulullah SAW. Dalam perbincangan mereka, timbul anggapan bahawa baginda berdakwah kerana ingin mencari sesuatu. Mereka melihat baginda sebagai anak yatim yang tidak berharta, lalu menyangka baginda menggunakan dakwah untuk menaikkan kedudukan dirinya dalam masyarakat.

Sebagai usaha untuk memalingkan baginda daripada menyampaikan ajaran Islam, para pemimpin Quraisy menghantar delegasi untuk membuat tawaran yang mereka sangka akan melemahkan tekad Rasulullah SAW. Tawaran itu meliputi tiga perkara utama iaitu kekayaan, kedudukan, dan wanita. Mereka berkata, jika baginda mahukan harta, mereka akan mengumpulkan kekayaan sehingga baginda menjadi orang yang paling kaya di kalangan mereka. Jika baginda mahu kuasa, mereka bersedia melantik baginda sebagai pemimpin tertinggi mereka. Dan jika baginda inginkan wanita, mereka akan memilih wanita tercantik untuk dinikahkan dengan baginda. Namun, Rasulullah SAW menolak semua tawaran ini dengan penuh tegas.

Tawaran mereka ini menunjukkan sifat masyarakat Jahiliah yang sangat materialistik. Dalam budaya mereka, kecantikan fizikal dianggap sebagai lambang kelebihan. Wanita cantik sering dijadikan kebanggaan dan dihias untuk menjadi perhatian dalam majlis-majlis keramaian. Lebih daripada itu, mereka juga menuduh Rasulullah SAW mengalami gangguan mental kerana ajaran baginda yang dianggap aneh. Mereka mempersoalkan bagaimana mungkin ada kehidupan akhirat, syurga, dan neraka. Malah, mereka menawarkan untuk mengumpulkan bomoh dan tabib bagi "merawat" baginda. 

Namun, seperti Nabi Nuh, Rasulullah SAW tidak pernah tergugat. Dengan kebijaksanaan dan kesabaran, baginda terus menjalankan amanah Allah untuk menyampaikan kebenaran. 
 
Nabi Nuh menghabiskan usianya menyeru kaumnya kepada kebenaran, namun seruannya bukan sahaja ditolak, malah dipersendakan. Dalam saat yang genting itu, baginda berdoa kepada Allah, memohon agar kezaliman yang berleluasa dihentikan. Baginda merayu agar bumi dibersihkan daripada mereka yang terus-menerus menyesatkan orang lain, kerana jika dibiarkan, mereka hanya akan melahirkan generasi yang mewarisi sifat-sifat yang sama, iaitu ingkar dan penuh dosa.

Allah, dengan kekuasaan-Nya yang mutlak, memberikan perintah yang sangat luar biasa kepada Nabi Nuh. Baginda diperintahkan untuk membina sebuah kapal besar, sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran manusia pada waktu itu. Penduduk kaumnya tidak dapat membayangkan mengapa seorang nabi akan membina kapal di tengah daratan, jauh dari sumber air yang besar. Bagi mereka, tindakan itu hanyalah satu lagi alasan untuk mengejek dan menghina baginda.

Namun, apa yang tidak mereka ketahui ialah perintah itu datang dengan hikmah yang tidak dapat dicapai oleh akal mereka. Dengan bimbingan Ilahi, Nabi Nuh memulakan pembinaan kapal. Dikisahkan bahawa baginda diberi benih pokok untuk ditanam, dan pokok-pokok itu tumbuh subur sehingga menjadi bahan utama pembinaan. Kaumnya yang melihat keadaan ini tetap mempersendakan baginda, menganggap apa yang dilakukan itu sia-sia. Mereka berkata sesama mereka, "Adakah hujan akan turun di kawasan kering ini? Atau adakah laut akan datang kepada kita?"

Pembinaan kapal itu mengambil masa bertahun-tahun, namun Nabi Nuh tidak pernah goyah. Baginda terus bekerja dengan penuh tawakal kepada Allah. Setiap kayu yang diletakkan, setiap paku yang dipukul, semuanya adalah lambang ketaatan baginda kepada perintah Tuhannya. Kapal ini, walaupun belum siap sepenuhnya, sudah menjadi bukti kebesaran Allah yang mengatur setiap kejadian dengan sempurna. Di sebalik ejekan dan cercaan, Nabi Nuh tetap yakin bahawa apa yang dijanjikan Allah akan menjadi kenyataan. 

KEAGUNGAN TAUHID MELANGKAUI CEMUHAN DUNIAWI

Sumber | FB Dato Nik Amar
........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo