BANGI, 5 Rejab — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membendung kegiatan sewa tayar.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata kerjasama itu penting bagi mengekang penipuan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Tindakan ini satu penipuan yang berbahaya kerana ketika menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM, mereka menggunakan tayar kenderaan yang disewa dan elok keadaannya.
“Bagaimanapun, JPJ tiada kuasa untuk masuk ke premis berkenaan, jadi kita akan berbincang dengan KPDN berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
“Saya akan menemui Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam dalam tempoh seminggu dua ini bagi membolehkan isu ini diperhalusi,” katanya kepada Berita Harian.
JPJ dalam satu pemeriksaan mengejut di PUSPAKOM Wangsa Maju minggu lalu mengesan sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat namun mendapat kelulusan.
Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, penyelia dan kakitangan PUSPAKOM yang terlibat diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ keesokan harinya.
Aedy Fadly berkata kelemahan PUSPAKOM sudah dikesan dan mereka diminta untuk menyemak prosedur operasi bagi mengelak kenderaan tidak selamat berada di jalan raya.
Katanya, kejadian sama bagaimanapun terus berulang sehinggalah JPJ berjaya mengesan kenderaan tidak selamat diluluskan ketika operasi mengejut baru-baru ini.
“JPJ sentiasa melakukan pemantauan di PUSPAKOM supaya isu kenderaan gagal jalani pemeriksaan tetapi tetap diluluskan diambil serius bagi mengelak ia terus berlaku.
“Saya difahamkan selepas itu PUSPAKOM berusaha meningkatkan integriti dalaman mereka. Bagaimanapun, ketika operasi mengejut baru-baru ini, kita terpaksa ambil tindakan.
“Kita dapati borang kelulusan pemeriksaan kenderaan yang dikeluarkan ketika operasi itu tidak sama dengan keadaan sebenar kenderaan yang ada di pusat berkenaan,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment