- Perbuatan segelintir peminjam PTPTN yang sengaja mengabaikan tanggungjawab melangsaikan pembayaran balik pinjaman tanpa sebab munasabah, disifatkan sama seperti menzalimi hak orang lain.
- Tindakan sedemikian jelas haram dalam Islam, terutama jika peminjam itu berkemampuan tetapi sengaja melambat-lambatkan pembayaran balik hutang.
- Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan dalam Islam, hutang dianggap sebagai satu amanah yang wajib dilaksanakan apabila sampai tempoh dijanjikan.
KUALA LUMPUR — Perbuatan segelintir peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sengaja mengabaikan tanggungjawab melangsaikan pembayaran balik pinjaman tanpa sebab munasabah, disifatkan sama seperti menzalimi hak orang lain.
Tindakan sedemikian jelas haram dalam Islam, terutama jika peminjam itu berkemampuan tetapi sengaja melambat-lambatkan pembayaran balik hutang.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan dalam Islam, hutang dianggap sebagai satu amanah yang wajib dilaksanakan apabila sampai tempoh dijanjikan.
Malah, Islam menganggap hutang itu sebagai beban yang menjadi amanah untuk diselesai dan dilunaskan.
“Bayangkan jika seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, maka dia akan dipertanggungjawabkan atas hutang yang belum dilunaskannya.
“Jika dia mempunyai harta pusaka, maka hendaklah diselesaikan bahagian hutangnya terlebih dahulu sebelum dibahagikan kepada waris.
“Begitulah beratnya tanggungan orang berhutang. Oleh itu, Islam menasihati umatnya agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat-sangat memerlukan,” katanya dipetik Berita Harian semalam.
Mohd Sukki dilaporkan berkata demikian bagi mengulas laporan berita yang menyatakan ada peminjam PTPTN yang kini sudah berusia 60 tahun masih belum selesai membayar balik pinjaman diberikan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim ketika mengulas tahap kesedaran peminjam tabung pendidikan itu dalam menunaikan tanggungjawab melunaskan hutang pinjaman.
Menyifatkan perbuatan peminjam itu sebagai tidak wajar itu, Norliza menegaskan kesedaran peminjam untuk membayar balik pinjaman amat penting kerana PTPTN memerlukan sekitar RM3 bilion bagi membiayai kos pendidikan tinggi 450,000 peminjam sedia ada dan purata 150,000 peminjam baharu setiap tahun.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki memaklumkan walaupun seseorang itu mempunyai niat untuk membayar hutang, dia tetap bersalah jika melengah-lengahkan pembayaran balik.
Sabda Rasulullah SAW: “Perbuatan melengah-lengahkan pembayaran hutang oleh seorang yang kaya adalah satu kezaliman.” (HR al-Bukhari)
“Ibnu Hajar turut mengulas dengan menyatakan perbuatan orang kaya yang melengahkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman.
“Sehubungan itu, orang berkemampuan dan kaya tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab membayar hutang yang wajib dilunaskan olehnya.
“Bayangkan seseorang itu menzalimi hak orang lain untuk mendapatkan pembiayaan PTPTN, apabila dia tidak melunaskan hutang yang wajib dia bayar. Oleh itu, segeralah bayar hutang untuk kebaikan dunia dan akhirat,” katanya. — The Merdeka Times
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment