NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hadi Presiden PAS Paling Berjaya Dalam Sejarah

Penulis bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS YANG PALING BERJAYA DALAM SEJARAH

Roslan SMS

Akhbar The Star baru-baru ini memuatkan artikel karangan Joceline Tan, seorang penganalisa politik veteran yang mengulas tentang Presiden PAS di bawah tajuk “Whispers of Hadi’s exit”.

Saya akui JT saya kenali secara peribadi hampir 20 tahun. Saya berpeluang mengenalinya ketika saya menjawat jawatan Setiausaha Akhbar Presiden PAS manakala beliau ketika itu seorang wartawan kanan di The Star. Perhubungan kami kekal hingga ke hari ini.

Saya tidak tahu motif artikel ini ditulis, tetapi ternyata apa sahaja berkenaan PAS hari ini memang menarik perhatian umum dan mahu diulas dan dibahas oleh semua pihak. Ternyata ini kerana PAS hari ini bukan parti tepi jalan atau parti melukut di tepi gantang sebagaimana sesetengah parti, akan tetapi PAS adalah sebuah parti arus perdana, dengan 43 kerusi Parlimen dan penguasaan di empat buah negeri, PAS merupakan parti Melayu terbesar dan paling berpengaruh dalam negara.

Artikel ini perlu dibaca secara keseluruhan dan bukan pada tajuknya sahaja. Saya sendiri bila dihubungi JT enggan bersetuju pada naratif yang ingin dibawa. Memang Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS pada usia 77 tahun hari ini tidaklah segagah dahulu fizikalnya. Beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan, namun yang penting beliau masih “alert”, “sharp” dan memiliki keupayaan serta kemampuan mengemudi dan memimpin parti dalam keadaan ahli-ahli parti sendiri tiada melihat sebarang kekurangan dalam kepimpinannya.

Saya beritahu JT walaupun dalam keadaan fizikal sedemikian, beliau masih gagah menulis, mempengerusikan mesyuarat parti, hadir sidang Parlimen, memimpin kuliah dhuha setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila, mengikuti perkembagan politik antarabangsa dan berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat dan pimpinan kecuali apabila berhalangan akibat keuzuran.

Saya beritahu pemimpin yang patut memikirkan masa untuk berundur adalah pemimpin yang gagal dan hilang pengaruh. Presiden PAS hari ini tidal gagal dan tidak pernah hilang pengaruh.

Rekod membuktikan bahawa beliaulah Presiden PAS yang paling berjaya sepanjang lebih 70 tahun usia parti Islam ini, walau dicemuh dan diperlekeh oleh musuh-musuh politiknya khasnya PH terutama DAP, Tuan Guru telah membuktikan di bawah kepimpinannya PAS menjadi parti yang paling relevan dan popular khasnya dikalangan umat Melayu Islam hari ini.

Pencapaian politik PAS di bawahnya luar biasa sehingga mampu bukan sekadar menguasai negeri tradisi PAS iaitu Kelantan dan Terengganu, malah mampu menang di Kedah dan Perlis. PAS menjadi pembangkang terkuat di Pahang dan Perak, begitu juga berpengaruh di Selangor dan malah mula melebarkan sayapnya di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Hari ini PAS juga punya wakil di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Dengan pencapaian luar biasa hari ini, beliau terbit sebagai satu-satunya pemimpin politik Melayu yang paling berwibawa dan bersih sehingga disegani kawan dan lawan, dalam dan luar negara.

Memang fizikalnya tidaklah seperti pada tahun 1982 dahulu apabila beliau mula menang kerusi DUN di Terengganu, tetapi ukuran kecemerlangan dan kejayaan kepimpinan adalah pada pencapaian atau “delivery”, tiada siapa dapat nafikan, katalah apa sahaja, beliau sesungguhnya telah cemerlang dan tidak ada sebab untuk mengundur diri kerana sokongan ahli-ahli di belakangnya cukup padu  dan kukuh.

Tidak mengapalah kalau PH atau DAP membencinya, memang mereka perlu begitu tetapi yang penting ahli-ahli PAS mengiktiraf dan menyanjungnya, dan rakyat Malaysia rata-rata menerima dan  memberikan penghormatan.

Dari segi fizikal sebagaimana JT sebut ada “good and bad days” buat Tuan Guru, tetapi sebagaimana saya beritahu beliau, pengamatan peribadi saya Tuan Guru di mata saya masih gagah bukitnya boleh memanjat tangga ke pejabat saya ditingkat satu tahun lepas dan kenyataan saya itu dipetik oleh JT dalam artikelnya.

Apa pun pemimpin Gerakan Islam hanya mengundurkan diri apabila tidak lagi memiliki keupayaan. Tuan Guru kami walau sudah 77 tahun, tetapi kudrat, pengalaman dan ilmu beliau masih segar malah lebih padu dari ramai mereka yang lebih muda usianya.

PAS hari ini cemerlang dan dipimpin oleh Presiden yang berpengaruh, mewakili suara Melayu Islam dalam negara. Kalau ada pun “whispers” atau bisik-bisik dalam PAS hari ini, ianya adalah “whispers”  berkenaan ke mercu mana lagi PAS akan pergi selepas ini, bukan sebaliknya.

Allah pelihara Tuan Guru Presiden kami.

Roslan Shahrir

........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo