NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP: Peserta ‘Squid Game’ Politik yang Bakal Tersingkir?

Nampaknya Lim Guan Eng begitu sibuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menuduh PAS sebagai peserta Squid Game politik. Namun, ironinya, DAP sendiri adalah peserta yang sedang bersaing untuk terus bertahan dalam arena politik yang semakin mencabar. Jika dilihat dengan jujur, langkah-langkah politik DAP kebelakangan ini menunjukkan bahawa mereka sebenarnya adalah pemain yang hampir tersingkir dari permainan ini.
PAS dan Solidariti untuk Najib: Menegakkan Keadilan, Bukan Membela Kesalahan
Salah satu isu yang dipersoalkan oleh Lim Guan Eng adalah mengapa PAS bersolidariti untuk Datuk Seri Najib Razak. Jawapannya mudah—PAS tidak membela kesalahan, tetapi memperjuangkan keadilan.
PAS berpandangan bahawa setiap individu, termasuk Najib Razak, berhak mendapat keadilan yang saksama, termasuk peluang mendapatkan pengampunan, jika memenuhi syarat perundangan. Jika ada kes yang boleh diselesaikan melalui kaedah politik atau pengaruh kuasa eksekutif, mengapa satu pihak boleh diberi layanan istimewa sementara yang lain dibiarkan begitu sahaja?
Solidariti PAS bukan bermakna menyokong kleptokrasi, tetapi menuntut supaya prinsip keadilan berteraskan Perlembagaan diterapkan secara adil dan tidak berat sebelah. Jika DAP benar-benar mahu mempertahankan integriti, mereka sepatutnya bersuara dalam semua kes ketidakadilan, bukan hanya apabila ia menguntungkan agenda politik mereka.
Jika benar (dan sememangnya semua pihak yakini) bahawa titah addendum itu wujud, maka kenapa nafikan beliau untuk mendapatkan haknya? Dan sesungguhnya andainya mana-mana individu termasuklah Lim Guan Eng sendiri dinafikan haknya menurut perlembagaan, PAS akan berdiri membela.
DAP dan Hipokrasi: Prinsip Digadaikan untuk Bertahan
Dalam Squid Game, mereka yang tidak jujur dengan diri sendiri akhirnya kecundang. Begitu juga DAP. Ketika mereka menyertai kerajaan perpaduan, rakyat menanti untuk melihat sejauh mana prinsip integriti mereka diaplikasikan. Namun, pelantikan ke kabinet seorang individu yang sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah telah membuka pekung hipokrasi mereka.
DAP yang dahulunya lantang mengkritik politik “kleptokrasi” kini memilih diam. Diam demi apa? Demi kedudukan dalam kabinet. Bukankah ini contoh klasik peserta Squid Game yang sanggup mengetepikan prinsip untuk terus bertahan dalam permainan?
‘Lampu Merah, Lampu Hijau’: Langkah DAP Kian Terbatas
Dalam permainan Lampu Merah, Lampu Hijau dalam Squid Game, setiap langkah yang salah akan membawa maut. DAP kini berada dalam situasi yang sama. Setiap kali mereka cuba melangkah dengan retorik integriti, “lampu merah” menyala apabila rakyat mempersoalkan tindakan mereka yang bercanggah dengan janji sebelum ini.
DAP yang selama ini melaungkan integriti kini terperangkap dengan tindakan yang jelas bertentangan. Pelantikan ahli kabinet yang masih didakwa di mahkamah, walaupun atas arahan Perdana Menteri, mencerminkan bahawa DAP bukan lagi pembawa agenda perubahan yang mereka laungkan selama ini.
Hakikatnya bukanlah semua pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil rakyat DAP itu bermasalah. Bukan tiada orang yang baik dan boleh berbincang dengan objektif terutama generasi pelapis pimpinan yang muda. Bahkan ada yang kita boleh berbicara dari hati ke hati. Tetapi, selagi dasarnya dipandu oleh beberapa kartel lama, ia akan kekal begitu.
Dinasti Lim: Beban Politik yang Tidak Lepas
Dalam Squid Game, ada peserta yang enggan melepaskan ego dan akhirnya tersingkir. Begitu juga DAP yang masih bergantung kepada legasi keluarga Lim. Majlis penghargaan kepada Lim Kit Siang sebelum pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini hanyalah satu taktik untuk membina momentum bagi mengekalkan pengaruh puak tertentu.
Bukan saya yang menulis begitu, akhbar-akhbar berbahasa Cina sendiri yang melaporkan spekulasi yang bertebaran bahawa majlis makan malam itu merupakan acara "pemanas" dan "membina momentum" untuk pemilihan CEC. Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/730526
Perpecahan dalaman parti mula membuak. Ahli-ahli parti mula mempersoalkan kenapa dinasti Lim terus menjadi bayangan besar yang mengekang perubahan sebenar dalam DAP. Dalam politik, rakyat mahukan pembaharuan, bukan bayang-bayang lama.
DAP: Peserta yang Bakal Tersingkir?
Dalam Squid Game, peserta yang kehilangan sokongan akan tersingkir. Begitu juga dengan DAP. Keputusan mereka untuk bersekongkol dalam kabinet bersama ahli yang berdepan tuduhan rasuah, serta pergolakan dalaman menjelang pemilihan CEC, menunjukkan mereka kini berada di ambang krisis keyakinan.
Rakyat sedang menilai, dan semakin hari sokongan kepada DAP kian terhakis. Ketika PAS terus konsisten dengan agenda membela agama, bangsa, dan negara, DAP kelihatan semakin goyah dengan prinsip yang tergadai. Jika ini berterusan, tidak mustahil DAP akan menjadi peserta Squid Game politik yang bakal tersingkir dalam episod pilihan raya akan datang.
Dalam Permainan Ini, Prinsiplah Penentu Kelangsungan
PAS berdiri atas dasar prinsip dan perjuangan, manakala DAP semakin terjerat dengan keputusan-keputusan pragmatik yang menjejaskan kredibiliti mereka. Lim Guan Eng mungkin perlu mengambil masa untuk bermuhasabah dan bertanya kepada dirinya: bagaimana rasanya menjadi sebahagian daripada kabinet yang anda sendiri pernah gelar “kerajaan kleptokratik”? Tidakkah anda rasa seperti peserta dalam Squid Game, yang kehilangan arah kerana terperangkap dalam permainan yang anda sendiri pilih untuk sertai?
Satu perkara pasti—dalam permainan politik ini, rakyat adalah hakim yang sebenar. Dan mereka yang terus bermain dengan hipokrasi pasti akan kalah.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo