Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Yadzil Yaakub berkata, walaupun Bersatu tidak membincangkan himpunan solidariti itu secara khusus, parti itu tidak menghalang ahli mahupun pemimpinnya menyertainya.
“Hak masing-masing untuk berhimpun dalam menyatakan kebebasan bersuara,” katanya kepada FMT.
“Tiada halangan untuk sesiapa hadir, demi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan memelihara perlembagaan negara serta kedaulatan undang-undang.”
Yadzil berkata, himpunan solidariti itu ialah demonstrasi rakyat menuntut ketelusan daripada kerajaan mengenai titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu, membolehkan Najib menjalani tahanan rumah.
“Adendum ini titah Agong yang perlu dihormati dan dipatuhi. Jika benar ia wujud dan kerajaan gagal laksanakan, maka kerajaan dianggap derhaka terhadap Agong.
“Ini bukan soal siapa banduan yang menerima kelebihan; ini soal kewajipan kerajaan melaksanakan titah Agong,” katanya.
“Jangan jadikan alasan titah Agong sebagai alat untuk kepentingan kerajaan tetapi apabila melibatkan kepentingan rakyat, titah Agong diremehkan.”
Sebelum ini dilaporkan, suatu himpunan akan diadakan pada 6 Jan di Istana Kehakiman, diterajui Umno dan PAS, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib berhubung titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain seterusnya menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang himpunan berikutan kenyataan Istana Negara yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mengumumkan parti itu tidak akan meneruskan himpunan solidariti itu atas prinsip menjunjung titah Agong dan mematuhi gesaan ketua polis negara.
PAS bagaimanapun menegaskan himpunan solidariti untuk Najib itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan perjalanan Lembaga Pengampunan.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment