Mahathir, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020, berkata beliau sedia dibicarakan di mahkamah berhubung dakwaan beliau mengkhianati negara dengan menghentikan permohonan semakan keputusan itu pada 2018.
Pada episod audio siar yang dihoskan oleh bekas menteri Idris Jala dan anaknya Leon, Mahathir berkata, negara tidak banyak untung dengan memiliki Batu Puteh, yang saiznya kira-kira sebesar sebuah padang bola sepak.
Mahathir, 99, mempertikaikan dakwaan bahawa beliau menyebabkan negara kehilangan tanah berharga. Menurutnya, beliau sebenarnya telah meluaskan wilayah negara dengan membangunkan Pulau Layang-Layang di Sabah dan menebus guna tanah untuk mewujudkan pulau-pulau di luar Langkawi.
“Macam mana kita nak bandingkan ini dengan Batu Puteh? (Batu Puteh) sekadar batu,” katanya.
“Selain itu, kita ada pulau lain (Batuan Tengah) dan juga tubir (Selatan). Itu milik kita dan boleh dibangunkan lebih baik berbanding Batu Puteh.
“Saya terfikir perkara ini dan maklumkan kepada Jemaah Menteri, apa yang harus kita lakukan adalah terima keputusan mahkamah (ICJ), dan kita harus bangunkan Batuan Tengah.
“Kita telah bangunkan Pulau Layang-Layang, yang hanya seketul batu di tengah-tengah lautan, tetapi kini ada landasan pendaratan dan sebuah hotel. Kita bina sesuatu daripada tiada apa-apa di tengah lautan. Kita boleh lakukannya.
“Jadi kenapa kita nak cakap tentang sebuah rumah api? Biarlah Singapura yang uruskannya.”
Batu Puteh, yang terletak kira-kira 14km di selatan Johor dan 44km timur Singapura, terbentuk daripada batu granit. Batuan Tengah dan Tubir Selatan pula masing-masing terletak 1.1km dan 4km dari Batu Puteh.
Pada 2008, ICJ menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan Tengah kepada Malaysia, manakala pemilikan Tubir Selatan ditentukan berdasarkan persempadanan perairan wilayah.
Pada 2017, Putrajaya memohon ICJ menyemak keputusannya mengenai Batu Puteh dan mendapatkan tafsiran berhubung ambiguiti dan implikasi tertentu yang timbul daripada keputusannya, khususnya berhubung status Tubir Selatan.
Bagaimanapun, berikutan kemenangan dalam PRU14 pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir menarik balik kedua-dua permohonan itu sebelum didengar pada Jun tahun sama.
Pada Februari tahun lepas, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk meneliti perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
RCI mendapati Mahathir mungkin sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri menghentikan permohonan semakan itu, walaupun ada perunding antarabangsa berpandangan bahawa permohonan itu mempunyai kemungkinan yang munasabah untuk berjaya.
Suruhanjaya itu menyarankan agar laporan polis dibuat terhadap Mahathir, dengan siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menipu.
Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan PH pimpinan Mahathir sepatutnya berjuang mempertahankan setiap inci wilayah Malaysia, dengan menyatakan bahawa sebarang salah laku berkaitan perkara itu boleh dianggap sebagai ‘pengkhianatan besar’.
Apabila diminta mengulas kenyataan Anwar itu, Mahathir berkata: “Mereka kata saya pengkhianat dan penjenayah, dan mereka mahu siasat saya … tetapi apa yang telah saya buat?
“Saya boleh pertahankan diri di mahkamah,” katanya.
“Apa yang saya hentikan itu (semakan keputusan ICJ) bukanlah sesuatu yang boleh buat kita untung mahupun rugi apa-apa.”
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment