NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa kesan undang-undang setelah bukti berkait titah adendum disahkan, soal Tengku Razaleigh




PETALING JAYA
Tengku Razaleigh Hamzah ingin tahu apakah kesan undang-undang susulan pengesahan bukti berkait titah adendum, dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa permohonan hendaklah ikut tatacara dan saluran yang ditetapkan.

AGC dalam kenyataan 28 Dis lalu berkata ia dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk memaklumkan bahawa permohonan untuk menghabiskan baki tempoh hukuman di rumah hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan.

“Kenyataan peguam negara melalui titah Agong ke-17 agar apa-apa rayuan untuk Najib Razak dibuat melalui proses yang baru, apakah kesan undang-undang setelah mengetahui bahawa terdapat tambahan bukti yang telah disahkan oleh Istana Pahang,” kata Tengku Razaleigh dalam kenyataan.

Persoalan itu salah satu daripada empat persoalan yang veteran Umno tersebut ajukan susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Sidang tiga hakim, dalam keputusan majoriti, beri kebenaran kepada bekas perdana menteri Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Agong terdahulu, yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Tengku Razaleigh mengambil maklum surat pejabat Sultan Pahang bertarikh 4 Jan 2025, menyatakan adendum tentang penahanan rumah wujud, telah tersebar. “Beberapa persoalan sekarang timbul dan ianya amat merisaukan kita semua dengan apa yang terjadi sekarang.”

“Bagaimanakah kerajaan tidak mempunyai maklumat tentang kewujudan adendum tahanan rumah yang telah dititahkan oleh Agong ke-16?” soal kata bekas menteri kewangan itu.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan ia tidak terima sebarang arahan mengenai tahanan rumah bagi Najib.

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata surat yang diterima Jabatan Penjara daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri pada 2 Feb 2024 tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan. Surat tersebut mengandungi perintah iaitu arahan rasmi untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan, ditandatangani oleh pengerusi Lembaga Pengampunan, iaitu Yang di-Pertuan Agong, dan menteri Wilayah Persekutuan selaku saksi.

Soalan seterusnya, Tengku Razaleigh bertanyakan apakah kesan kenyataan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim perihal perkara itu di Parlimen baru-baru ini.

Anwar pada 10 Dis lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa titah adendum itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang beliau hadiri, pada 8 Dis 2023.

Akhir sekali, Tengku Razaleigh ingin tahu, “apakah reaksi dan tindakan lanjut Umno dan kedudukannya sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran dengan adanya pelbagai bukti yang baharu ini”.

Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi memohon ihsan dan kebijaksanaan Agong untuk beri pengampunan penuh kepada Najib bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pengurusan kes bagi prosiding semakan kehakiman ditetapkan pada 13 Jan.

Istana Negara pada 3 Jan lalu mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang, dan berkata banduan yang inginkan keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah kemuka permohonan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan pada mesyuarat akan datang.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo