ALGORITMA AI DAN AKAL MANUSIA
Walaupun manusia berusaha mencipta robot untuk meniru kerja manusia seperti menanak nasi, membersihkan rumah, mencuci pinggan, atau menghantar makanan di restoran, ciptaan tersebut hanyalah alat, bukan kehidupan yang memiliki roh seperti manusia.
Allah menjelaskan secara terperinci bahawa Dia mampu mencipta manusia daripada setitis mani, menentukan kematian mereka di dalam kandungan, setelah lahir, dalam keadaan sempurna, atau tidak sempurna. Allah SWT menegaskan bahawa manusia tidak mampu melakukan semua itu.
Manusia sedang berusaha meniru ciptaan Allah SWT. Robot yang canggih boleh dicipta, tetapi untuk menandingi manusia sebagai makhluk yang memiliki akal dan jiwa, itu mustahil. Ada yang berkata AI mampu menyaingi manusia hingga mengalahkan mereka dalam pelbagai aspek. Namun, siapa yang mencipta AI? Bukankah manusia sendiri yang menciptanya? Bagaimana sesuatu yang dicipta oleh manusia boleh melawan penciptanya sendiri?
Contohnya, dalam permainan catur, AI mungkin menang kerana diprogramkan dengan gerakan yang telah dirancang. Namun, program itu bergantung sepenuhnya kepada input yang diberikan oleh manusia. Tanpa manusia yang mengajarnya, AI itu tidak mampu berfungsi. Ini menunjukkan kelebihan tetap berada pada manusia yang memiliki akal dan daya cipta.
Seperti hubungan manusia dengan Allah SWT. Kita mampu mencipta kapal terbang, kapal selam, malah sampai ke bulan, tetapi siapakah yang memberikan ilmu dan akal untuk mencipta semua itu? Allah SWT. Oleh itu, sehebat mana pun manusia, mereka tetap tidak dapat melawan kekuasaan Allah.
Ulama memberi contoh mudah dengan membandingkan pandangan terhadap pameran lukisan. Apabila seseorang melihat lukisan yang indah, dia mungkin berkata, “Cantiknya lukisan ini, nampak seperti yang sebenar.” Namun, orang seperti ini hanya memuji lukisan kerana apa yang dilihat oleh matanya, tanpa menyedari siapa pelukisnya.
Sebaliknya, orang yang mencapai hakikat melihat lebih daripada itu. Apabila dia melihat dunia, dia melihat Allah. Zahirnya, dia nampak gunung-ganang, bukit-bukau, pokok-pokok, dan segala isi dunia, tetapi hatinya menyaksikan kehebatan Allah. Semua yang dilihatnya adalah manifestasi kekuasaan dan kebesaran Allah.
Walaupun matanya memandang bangunan atau alam sekitar, hatinya terhubung kepada Pencipta. Segala keindahan yang ada hanyalah tanda kebesaran-Nya, mengingatkan manusia kepada Allah yang Maha Agung.
Sumber ! Fb Dato' Nik Amar
........Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment