KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan usah terlalu berbangga dengan pencapaian kecil apabila Fitch Ratings mengesahkan penarafan Ingkar Penerbit (IDR) Mata Wang Asing Jangka Panjang Malaysia pada ‘BBB+’ dengan tinjauan ‘Stabil’.
Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau berkata, berbanding penarafan ‘A-‘ yang diterima pada tahun 2017, pencapaian terkini itu menunjukkan rangka ekonomi Kerajaan Perpaduan masih banyak ruang untuk diperbaiki dan ditingkatkan.
Tegas beliau, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya menyedari rasa tidak puas hati rakyat terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan tekanan hidup semasa.
Namun, dakwa beliau, Anwar kelihatan terlalu bersemangat untuk menguar-uarkan kononnya rangka ekonomi kerajaan perpaduan telah diiktiraf dan terbukti berjaya biarpun ‘BBB+’ itu masih jauh berbeza dengan penarafan ‘A-‘ pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Walaupun mendapat tiga “B+”, ia tetap tidak boleh menandingi satu ‘A’.
“Jangan lupa, sebelum ini kerajaan perpaduan juga pernah mengambil kredit ketika nilai mata wang ringgit meningkat dengan menyebut keberkesanan dasar mereka, tetapi apabila nilai mata wang jatuh, mereka saling menolak tanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Dominic, penarafan ‘BBB+’ yang diberikan oleh Fitch kepada Malaysia itu sebenarnya hanya menyamai penarafan pada tahun 2020.
Sehubungan itu, tegasnya, jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ketika ini seharusnya melakukan lebih banyak usaha.
“Jalan pemulihan ekonomi negara memerlukan komitmen terhadap dasar yang lebih konkrit dan memberi manfaat sebenar, bukan sekadar retorik kosong atau bermain dengan angka dalam data,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan, Fitch mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘Stabil’.
Sehubungan itu, Anwar berkata, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi negara seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi Madani. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment