BERTAM – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tuduhan yang mendakwa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan secara bersendirian tanpa melibatkan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin lain adalah tidak berasas dan tidak benar.
Wan Saiful berkata, dalam banyak perkara yang melibatkan keputusan parti, proses perbincangan sentiasa dilakukan secara kolektif dan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan.
Tegas beliau, tuduhan yang timbul mungkin berpunca daripada individu-individu yang merasakan diri mereka tidak dijemput dalam perbincangan tertentu sehingga menyebabkan timbulnya komen-komen negatif.
“Ini adalah perkara biasa bagi seorang pemimpin di peringkat tinggi, yang mana pelbagai tuduhan dan persepsi boleh timbul. Namun, realitinya dalam semua keputusan yang saya terlibat, perbincangan berlaku dengan baik dan penuh pertimbangan.
“Malah mereka yang tidak dijemput ke dalam perbincangan mungkin perlu bertanya mengapa mereka tidak dilibatkan.
“Apa yang boleh saya jelaskan beliau (Muhyiddin) merupakan seorang pemimpin yang cenderung untuk mencari konsensus dan melibatkan semua pihak dalam setiap keputusan penting yang dibuat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful hadir program penyerahan sijil dan khemah kepada peserta Projek Meningkatkan Ekonomi Usahawan Wanita Tasek Gelugor.
Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, sebarang komen yang datang daripada sumber-sumber yang tidak dinamakan adalah tidak boleh diambil kira kerana ia tidak memberi kejelasan mengenai siapa yang terlibat dan apa sebenarnya motif di sebalik dakwaan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sering membuat keputusan sendiri terutama melibatkan perkara penting parti itu sehingga menyebabkan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kurang senang dengan tindakan tersebut.
Seorang pemimpin kanan perikatan tersebut berkata, masalah itu kini menjadi bualan dalam kalangan mereka, bagaimanapun ia tidak dinyatakan secara jelas kepada Muhyiddin.
Menurut beliau yang enggan namanya didedahkan, mereka sehingga hari ini hanya mendiamkan diri tindakan Muhyiddin itu kerana menghormati kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi dalam PN dan Bersatu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment