KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak wajar mendahului mahkamah dalam hal mentafsirkan keabsahan titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang boleh ditafsirkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, mahkamah sepatutnya mempunyai autoriti dan kuasa tertinggi untuk menentukan keabsahan titah adendum melalui proses semakan kehakiman, selaras dengan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
Jelas beliau, tindakan AGC mengeluarkan kenyataan mendahului mahkamah itu mencetuskan kebimbangan rakyat mengenai tahap kebebasan sistem perundangan dan kehakiman negara.
“Tindakan ini bukan sahaja mengakibatkan rakyat mempersoalkan integriti Jabatan Peguam Negara, tetapi juga mencetuskan persepsi negatif mengenai niat sebenar pihak kerajaan dalam menangani isu ini secara adil dan telus.
“Proses undang-undang mesti diberi ruang untuk berjalan tanpa tekanan atau campur tangan mana-mana pihak, termasuk kenyataan yang boleh dianggap subjudis terhadap hasil keputusan mahkamah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, AGC dalam kenyataan media memaklumkan, Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Jabatan itu memaklumkan, keputusan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya mana-mana saluran lain.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, kenyataan AGC berhubung proses pengampunan dan pengurangan hukuman yang perlu dibuat menerusi Lembaga Pengampunan semalam, turut memberi gambaran Kerajaan Perpaduan tidak jujur dan tidak berniat untuk melaksanakan tahanan rumah ke atas Najib.
Jelas beliau, sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar ikhlas serta jujur, perkara berkaitan titah adendum itu sepatutnya dipermudahkan, bukan dipersulitkan.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan boleh mengesahkan kewujudan titah adendum itu lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga Najib sendiri memohon semakan kehakiman.
“Jika PM10 (Anwar) dan kerajaan PH-BN ini jujur dan benar-benar mahu melaksanakan tahanan rumah ke atas DS Najib, mereka boleh saja menyerahkan salinan Titah Adendum ini kepada Mahkamah ketika Mahkamah memutuskan afidavit berkaitan Titah Adendum ini adalah khabar angin, dan tidak perlu menunggu sehingga anak DS Najib sendiri yang terpaksa dengan susah payah mendapatkan salinan Titah Adendum ini dan membuat afidavit menyerahkan salinan Titah Adendum ini kepada Mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment