KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menarik balik kenyataan beliau kerana mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata, ini kerana kenyataan Dr Akmal bukan satu kesalahan dan tidak bercanggah dengan undang-undang di negara ini.
“Apa yang dinyatakan Yang Berhormat Dr Akmal adalah bersifat pertanyaan yang berniat untuk mendapatkan penjelasan sejurus kenyataan Peguam Negara pada 28 Disember berhubung isu pengampunan Diraja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli menggesa Dr Akmal menarik semula kenyataan itu yang didakwa memperlekehkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Adam berkata, tidak wajar Dr Akmal mempertikaikan kuasa pengampunan YDPA dan jika tidak ditarik balik boleh mencalarkan pandangan umum terhadap keluhuran institusi Diraja.
Sebelum ini, Dr Akmal menerusi akaun Facebook miliknya mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri ke-10 itu dan sejauh mana proses tersebut dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu, Choo Seong pula mengajak Adam Adli dan rakan-rakan daripada AMK untuk turut hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi menyertai himpunan Solidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut keadilan pada 6 Januari ini.
“Yang Berhormat Adam Adli dahulunya cukup dikenali dan disanjungi anak-anak muda kerana memperjuangkan reformasi keadilan dan menentang kezaliman.
“Beliau juga mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siri demontrasi jalanan suatu ketika dahulu.
“Maka, Pemuda BN ingin menjemput dan berharap Yang Berhormat Adam Adli dapat hadir bersama kami untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara,” katanya.
Katanya, ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri pada 21 Disember lalu yang mengakui wujud kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan dilakukan secara tergesa-gesa serta didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik.
“Jangan lupa bagaimana kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib digeledah pada malam pertama Ramadan 2018.
“Atas keikhlasan dan semangat Kerajaan Perpaduan, maka adalah wajar agar AMK dan sayap pemuda PH dapat bersama-sama dengan Pemuda BN dalam perhimpunan aman kali ini,” katanya.
Katanya, sebagai barisan pemimpin pelapis, semua pihak khususnya generasi muda mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara.
“Kita perlu menghentikan amalan dendam politik yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membazir sumber negara serta mencemarkan kemuliaan institusi kehakiman di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment