Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata akaun bank tersebut adalah ‘subject matter’ kepada siasatan serta pendakwaan dan ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
“Sitaan akaun bank terbabit adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
“Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan ‘Penyitaan harta alih dalam institusi kewangan’ dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, pendakwa raya (DPP) menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta sama.
“Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah Akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta ini.
“Adalah jelas, kes ini telah mendapat izin mendakwa dan Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu dipertuduh bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata, bagaimanapun pihak Bersatu sudah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023.
“Oleh itu, pada 30 Okt 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah pun membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman Bersatu tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 Sept 2025.
“Saya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan Akta dan bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempat di sisi undang-undang,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata Bersatu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM dan bank berkaitan susulan pembekuan akaun parti berkenaan.
Presiden Bersatu mendakwa, tindakan pembekuan akaun bank oleh SPRM sebagai satu penyalahgunaan kuasa kerana parti berkenaan tidak pernah dituduh atas kesalahan undang-undang.
Beliau berkata, ketika ini peguam Bersatu sedang meneliti tindakan yang boleh diambil kerana mengikut undang-undang yang berkaitan dengan hal itu, pihak terlibat hanya boleh membekukan akaun dalam tempoh 12 bulan tetapi dalam kes Bersatu selepas tempoh 12 bulan akaun masih dibekukan.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment