KUALA TERENGGANU, 16 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rentetan penggantungan hukuman sebatan luar penjara terhadap pesalah khalwat pada 3 Disember lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang telah bersidang pada 11 Disember lepas memutuskan bahawa Permohonan Semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Hasil persidangan itu, Mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu dikekalkan.
“Hukuman sebatan itu juga kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang sebagaimana keputusan terdahulu dan akan dilaksanakan pada 27 Disember ini selepas solat Jumaat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau, keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.
“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
“Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.
Tambah Muhammad Khalil, pelaksanaan hukuman sebatan Takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
“Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan enam hukuman sebatan di luar penjara terhadap pesalah iaitu di sebuah masjid (Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu) pada 6 Disember lalu (selepas solat Jumaat) bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail.
Sabitan hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada pengakuan salah oleh OKT itu sendiri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Sumber | TRDI
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment