NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rujuk keputusan mahkamah, ICAC untuk nilai tuduhan terhadap Musa, kata Rahman

Ahli MKT Umno, Rahman Dahlan, kata tiada siapa berani tuduh ICAC dipengaruhi ‘tangan ghaib’, selepas ia dapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa Aman.




PETALING JAYA
Seorang pemimpin Umno gesa semua menilai tuduhan terhadap Musa Aman dengan merujuk pada keputusan mahkamah dan pihak berkuasa, selepas beberapa pihak pertikai pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Ahli majlis kerja tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan, berkata tiga entiti iaitu mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan peguam negara melepaskan bekas ketua menteri itu daripada tuduhan rasuah.

Beliau yakin perkara itu menjadi asas utama kepada tapisan ketat yang dilakukan oleh Istana Negara sebelum mengumumkan pelantikan Musa.

“Jika ada pihak mempertikai perlantikan Musa kerana kononnya ada tangan-tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan peguam negara, saya ingin cadangkan mereka merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong,” katanya dalam kenyataan.

Rahman merujuk kepada aduan rasuah oleh seorang Ahli Parlimen kepada ICAC, terhadap Musa.

“ICAC telah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa.”

Rahman berkata reputasi dan profesionalisme ICAC menjadi piawaian bagi agensi pembanteras rasuah di seluruh dunia, menurut badan pemantau rasuah, Transparency International.

“Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai,” katanya.

Rahman turut mengingatkan bahawa Agong, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor langsung tidak terlibat dalam keputusan mahkamah, SPRM, dan peguam negara.

“Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu,” tambahnya.

Rahman menegaskan hak setiap rakyat untuk memberi pandangan dilindungi oleh undang-undang “selagi ianya tidak mengandungi unsur-unsur fitnah, tidak melanggar undang-undang, dan tidak menghasut” terutama terhadap institusi Agong.

“Persoalan yang timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak?” katanya.

“Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, SPRM dan peguam negara. Ketiga-tiga entiti ini telah melepaskan Musa daripada tuduhan rasuah.”

Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Bekas ketua menteri lima penggal itu menggantikan Juhar Mahiruddin.

Mahkamah Tinggi pada Jun 2020 melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Ketika itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan beritahu Dewan Rakyat bahawa kes terhadap Musa digugurkan selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan pada Mei tahun sama.

Menurutnya lagi, ICAC memaklumkan melalui surat bertarikh 22 Dis 2011 yang menyatakan siasatannya terhadap Musa sudah lengkap dan berdasarkan fakta-fakta yang diketahui tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan, lapor Berita Harian.

SPRM buka kes terhadap Musa pada 2009 yang kemudian memulakan siasatan dengan ICAC.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo