Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) kesal caj RM1 mesin pengeluaran automatik (ATM) kembali dikenakan pasca pandemik Covid-19.
Presidennya, Mohd Yusrizal Yusoff berkata caj berkenaan tidak adil kepada pengguna selepas bank membuat untung atas angin terhadap wang pendeposit.
“Dulu, kita menggunakan mesin ATM dan sistem antara bank tanpa dikenakan caj, tetapi tiada kerugian langsung dicatat oleh bank.
“Pada masa kini, syarikat ini mengenakan caj yang tidak rasional dan membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Kita yang keluar duit dan mereka yang dapat keuntungan sehingga berjuta-juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) minggu lalu menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) berhenti bersekongkol menindas golongan miskin.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata BNM bersekongkol dalam penindasan di mesin ATM selepas menjadi pemegang saham terbesar di PayNet.
NUBE mendakwa PayNet meraih untung kasar RM544 juta dan untung bersih RM271 juta pada tahun lalu dengan keuntungan terkumpul RM1.43 bilion dan aset RM2.1 bilion.
Katanya, 11 bank perdagangan turut mengaut keuntungan berbilion ringgit pada tahun lalu dengan Maybank mengaut keuntungan tertinggi RM8.27 bilion.
Mohd Yusrizal berkata walaupun caj yang dikenakan hanya RM1 di mesin ATM tetapi dengan kos sara hidup yang tinggi ia amat berharga bagi rakyat.
“Apa rasional caj RM1 terhadap pengguna sehingga mengaut untung atas angin. Kami beranggapan tidak rasional caj RM1 ini dan ia seperti menindas rakyat.
“Sekiranya kerajaan dan bank ingin menggalakkan rakyat menggunakan teknologi digital, mereka perlu menyediakan insentif seperti potongan harga atau pengurangan caj.
“Bukannya menambah beban dengan caj tersembunyi yang membebankan golongan marhaen,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Solomon berkata, caj RM1 membawa keuntungan hingga jutaan ringgit kepada pihak bank tetapi menekan golongan B40.
Katanya, pemilik akaun bank yang juga merupakan golongan B40 paling ramai menggunakan ATM dan golongan kaya pula menggunakan perbankan internet.
“Berjuta orang di Malaysia ini mempunyai akaun bank, daripada jumlah tersebut boleh dianggarkan 80 peratus adalah B40 dan M40.
“Itu sahaja kita sudah lihat berjuta orang yang menggunakan ATM serta terkesan dengan caj RM1 itu.
“Caj itu hanya menyebabkan orang kaya menjadi lebih kaya tetapi orang miskin terus menjadi miskin,” katanya kepada akhbar sama.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment