PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, menetapkan 19 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman berkaitan kesalahan rasuah yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam pengurusan kes hari ini berkata, mahkamah turut memperuntukkan dua hari, iaitu 19 dan 20 Mac 2025, untuk mendengar rayuan itu.
“Mahkamah turut menetapkan 4 Mac 2025 sebagai tarikh akhir bagi kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujahan bertulis masing-masing,” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan harta, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadap bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu atas kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta.
Tertuduh turut dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan atas kesalahan menyalahgunakan harta untuk kepentingan dirinya sendiri, iaitu RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik ABBE.
Bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram, Syed Saddiq dihukum penjara dua tahun dan didenda RM5 juta, atau penjara dua tahun lagi jika gagal membayar denda. Hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.
Namun, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, sekali gus membolehkannya menangguhkan hukuman.
Sumber | Buletin TV3
No comments
Post a Comment