Sekumpulan dikatakan Mahasiswa sedang berkumpul untul berarak ke Menara Kinabalu |
Kota Kinabalu, 31 Disember 2024 – Suasana di sekitar Menara Kinabalu menjadi perhatian apabila puluhan trak polis dilaporkan tiba di lokasi tersebut sejak awal pagi tadi, dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa.
Perhimpunan ini bertujuan menyuarakan bantahan terhadap isu rasuah di negeri Sabah. Video yang dikongsikan oleh Biro Penerangan dan Multimedia Bahagian Warisan P184 Libaran menunjukkan konvoi trak polis menuju ke lokasi tersebut, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai pendekatan yang diambil pihak berkuasa terhadap acara aman itu.
Menurut maklumat awal, perhimpunan tersebut tidak mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara rasmi, namun sekumpulan individu dipercayai mahasiswa universiti itu dilihat berjalan kaki dari pintu gerbang UMS menuju Menara Kinabalu yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampus.
Dalam perjalanan mereka, kumpulan mahasiswa itu melaungkan slogan seperti "Bangkit Anak Muda," "Rakyat Sabah," "Turun Koruptor," dan "Mati Koruptor," sambil membawa plakad dan sepanduk yang memaparkan mesej anti-rasuah.
Situasi di lokasi perhimpunan disifatkan tegang apabila kehadiran besar-besaran pasukan polis menimbulkan persoalan tentang tahap ancaman yang dirasakan oleh pihak berkuasa. "Adakah perhimpunan secara aman ini lebih berbahaya daripada skandal rasuah yang mencemarkan nama baik negeri?" kata seorang pemerhati yang enggan dikenali.
Penganjur mengingatkan bahawa mahasiswa hari ini adalah pemimpin masa depan, dan mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk menentang ketidakadilan. “Pelajar tidak seharusnya ditakutkan hanya kerana menyuarakan pendapat mereka. Sabah memerlukan kepimpinan yang bersih dan telus, dan kami berhak menyuarakan tuntutan ini secara aman,” ujar seorang peserta perhimpunan.
Perhimpunan tersebut masih berlangsung ketika laporan ini disiarkan, dengan pihak berkuasa dilihat terus memantau keadaan. Semua mata kini tertumpu pada hasil perhimpunan ini, yang dilihat sebagai ujian terhadap ruang kebebasan bersuara di Sabah. - 1Media.my
........Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment