NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib soal: Apa pasal tiada tindakan terhadap Zeti, suami?




KES 1MDB
 | Najib Razak menyoal mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman.

Bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini berkata ia menunjukkan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram bernilai RM2.27 bilion terhadapnya merupakan satu pendakwaan politik. 

Najib merujuk dakwaannya sebelum ini bahawa ahli perniagaan buruan 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low), telah menyalurkan dana kepada keluarga Zeti, yang merupakan salah seorang saksi utama pihak pendakwaan. 

“Sehingga kini, tiada tindakan diambil terhadap Zeti, yang merupakan gabenor BNM pada masa itu, atau suaminya, Tawfiq Ayman, walaupun terdapat bukti jelas penglibatan mereka.


“Sebaliknya, saya dijadikan satu-satunya individu yang secara agresif diburu oleh SPRM. 

“Ketidaksamaan yang ketara ini menonjolkan agenda pendakwaan politik yang disengajakan terhadap saya, yang dicirikan oleh siasatan berat sebelah dan tidak adil, serta keputusan terancang untuk melindungi individu lain yang terlibat dalam rancangan Jho Low, termasuk Zeti dan suaminya, daripada bertanggungjawab,” kata Najib kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah. 

Sepanjang perbicaraan, Zeti memberi keterangan keluarganya tidak pernah menerima wang daripada Low manakala Tawfiq sendiri dalam kenyataan kepada Malaysiakini sebelum ini menolak dakwaan rasuah bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner terhadapnya. 

Di Mahkamah Daerah Timur New York, Leissner (gambar bawah) memberi keterangan bahawa suami Zeti menerima sogokan untuk membolehkan berbilion dolar dipindahkan ke Malaysia dalam tempoh semalaman bagi usaha sama 1MDB-Petrosaudi International Limited.


Leissner sendiri sedang menunggu hukuman berkaitan kes jenayah di mahkamah tersebut yang berkait dengan 1MDB. 

Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion dari 1MDB. 

Hakim Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib melibatkan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 

Hakim berkata Najib perlu menjawab pertuduhan berdasarkan kekuatan pelbagai keterangan daripada 50 saksi semasa peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018. 

Pihak pendakwaan mendakwa Low terlibat dalam salah laku kewangan di 1MDB atas arahan Najib. 

Namun, bekas ahli parlimen Pekan itu menegaskan dia tidak mengetahui sebarang salah laku dalam syarikat pelaburan negara itu dan penyelewengan tersebut sepenuhnya dilakukan oleh Low dan anggota pengurusan 1MDB. 

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes penyalahgunaan kuasa berasingan melibatkan dana RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. 

Dia juga sedang menghadapi perbicaraan jenayah yang sedang berjalan untuk kes pengubahan wang haram SRC bernilai RM27 juta. 

Sebelum ini, Najib dibebaskan dalam satu lagi kes jenayah melibatkan laporan audit 1MDB. 

Dia juga diberikan pelepasan tidak membebaskan pada 27 November dalam kes pecah amanah jenayah RM6.6 bilion melibatkan International Petroleum Investment Company. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.




Sumber | Malaysiakini











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo