KUALA LUMPUR – Budaya lompat parti merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana akan mengundang ketidakstabilan dan merosakkan kepercayaan yang dibina.
Ia juga mengorbankan masa depan rakyat hanya untuk kepentingan sempit segelintir pihak, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Menurut beliau, kestabilan politik bukan sekadar satu keperluan tetapi tanggungjawab bersama selain merupakan kunci kepada kemajuan, keyakinan rakyat dan kemakmuran negara.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menegaskan, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan membawa peranan dan amanah penting yang mesti dihormati oleh semua pihak.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, UMNO berdiri teguh di atas prinsip kepercayaan dan kerjasama.
“Kerajaan ini terbina atas asas perpaduan yang memerlukan keikhlasan, bukan percaturan politik yang merosakkan,” katanya dalam satu kenyataan seperti disiarkan UMNO Online hari ini.
Tambah Noraini, Wanita UMNO dengan tegas menolak budaya politik yang mencalar integriti serta meracuni kesatuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin dan pemain politik kembali kepada nilai yang lebih tinggi iaitu nilai keikhlasan, kejujuran dan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Politik bukan sekadar soal kuasa tetapi amanah yang dipikul demi masa depan bangsa dan negara. Wanita UMNO bertekad untuk memperkukuhkan kesatuan parti, mempertahankan kestabilan politik dan memastikan budaya lompat parti ini dihentikan.
‘KIta perlu fokus kepada agenda yang lebih besar iaitu memajukan negara dan membela rakyat,” ujarnya.
Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan ada perbincangan awal berkenaan desas-desus Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar daripada UMNO bagi menyertai PKR.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul dalam kenyataan semalam menjelaskan, perbincangan mengenai perkara itu masih di peringkat awal dan tidak menyentuh sebarang agenda berhubung jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment