KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa tidak membuat membuat keputusan terburu-buru berhubung cadangan pelaksanaan kenaikan tarif elektrik sehingga 14.2 peratus menjelang pertengahan tahun depan.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, cadangan menaikkan tarif elektrik bukan sekadar pelarasan yang mudah, sebaliknya perlu mengambil kira aspek asas kehidupan seharian rakyat.
Jelas beliau, cadangan itu perlu ditanggapi dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab untuk mengelak daripada dasar tersebut menjejaskan rakyat dan perusahaan kecil.
Selain itu, ujarnya, isu tarif elektrik juga bukan hanya soal ekonomi untuk perniagaan dan isi rumah, sebaliknya ia adalah ujian terhadap janji dan keupayaan pentadbiran kerajaan.
“Saya berharap Kerajaan Perpaduan akan benar-benar berpegang kepada kepentingan rakyat dan memastikan keputusan untuk menaikkan tarif elektrik tidak menjejaskan pemulihan ekonomi serta berusaha memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Lawrence berkata, lonjakan 14.2 peratus tarif elektrik yang dicadangkan adalah hampir lapan kali ganda kadar inflasi, sekali gus menjejaskan perbelanjaan isi rumah kerana berpotensi menambah puluhan bahkan ratusan ringgit kepada bil elektrik bulanan keluarga biasa.
Ia katanya, sudah pasti akan memberi tekanan tambahan kepada keluarga yang sedang bergelut untuk menguruskan perbelanjaan harian.
“Kos operasi perusahaan kecil dan sederhana juga akan meningkat, membawa kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan secara menyeluruh.
“Tindak balas berantai ini akhirnya akan menjejaskan setiap pengguna,” katanya.
Tambah beliau, memandangkan Kabinet masih belum meluluskan pelan pelarasan tarif elektrik bagi separuh kedua 2025, maka kerajaan mempunyai masa enam bulan untuk menilai trend pasaran dalam harga bahan api dan gas asli, serta keadaan ekonomi rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.
Tegas beliau, Kerajaan Perpaduan harus menghormati komitmen untuk menggunakan penjimatan daripada subsidi bersasar untuk memberi subsidi kos elektrik.
“Kerajaan mesti merancang penggunaan dana awam dengan teliti dan memastikan dasar tarif elektrik pada separuh kedua 2025 masih memberi manfaat kepada 85 peratus pengguna isi rumah biasa,” katanya.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi pengumuman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini memaklumkan, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment